Sahabat baik bertembung rebut kerusi Parlimen Kuala Terengganu

Mohd Zubir (kiri) dan Ahmad Amzad ketika ditemui di pusat penamaan calon di Stadium Negeri Terengganu, Kuala Terengganu pada Sabtu.
Mohd Zubir (kiri) dan Ahmad Amzad ketika ditemui di pusat penamaan calon di Stadium Negeri Terengganu, Kuala Terengganu pada Sabtu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Calon Perikatan Nasional (PN) dan BN yang saling mengenali sejak di bangku sekolah bakal berentap bagi merebut kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Bagaimanapun, kedua-dua calon iaitu Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN) dan Datuk Mohd Zubir Embong (BN) senada dalam kempen dan berjanji akan menjalankan kempen secara sihat serta tidak memburukkan atau memfitnah antara satu sama lain.

Ahmad Amzad memberitahu, mereka berdua adalah bekas pelajar di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma) di Kuala Nerus.

"Beliau (Mohd Zubir) adalah senior saya, jadi kami tak sempat bersama dalam satu sesi persekolahan, namun hubungan kami terjalin erat ketika berada dalam alumni sekolah dan kerap bertemu dalam pelbagai program yang diadakan.

"Kami juga pernah tinggal sebilik sepanjang mengerjakan umrah pada tahun 1997," katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon di Stadium Negeri Terengganu di sini pada Sabtu.

Jelas beliau, mereka berdua akan menjalankan kempen secara sihat tanpa memburukkan peribadi pihak lawan malah mempunyai beberapa hasrat yang sama untuk pembangunan di Kuala Terengganu.

"Kami berdua akan mengamalkan pertandingan yang sihat supaya pengundi Kuala Terengganu dapat wakil rakyat yang terbaik," katanya.

Parlimen Kuala Terengganu bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru pada PRU kali ini.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Amzad dan Mohd Zubir bakal berdepan dua lagi pencabar dari PH iaitu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad serta Mohamad Abu Bakar Muda dari Parti Pejuang Tanah Air (GTA-Pejuang).



Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!