Bertanding atas tiket lawan, Perlembagaan parti ada hak pecat

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

BAGAN DATUK - Langkah beberapa ahli BN yang menyertai parti politik lain untuk bertanding pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) berdepan risiko pemecatan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perlembagaan parti mempunyai hak untuk memecat mereka secara automatik.

"Bagi mereka yang tak terpilih sebaliknya menjadi calon parti lawan, maka ikut fasal-fasal tertentu Perlembagaan UMNO dan juga Perlembagaan BN, maka parti mempunyai hak untuk memecat mereka secara automatik.

"Begitu juga pencadang dan jua penyokong calon berkenaan.

"Ia merupakan satu langkah biasa kerana kita mengikut tatacara dan tataetika yang terdapat Perlembagaan UMNO dan BN," katanya dalam sidang media di kediamannya di Rungkup di sini pada Sabtu.

Laporan media sebelum ini melaporkan Datuk Seri Shahidan Kassim, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sah digugurkan daripada mewakili BN pada PRU15.

Pagi tadi, kerusi Parlimen Bagan Datuk dijangka hangat dengan menyaksikan pertandingan empat penjuru apabila kesemua calon menyerahkan borang pencalonan di Pusat Penamaan Calon di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk (SABDA) di sini.

Ahmad Zahid ditentang calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Perikatan Nasional (PN), Dr Nik Muhammad Faiz Na'aman.

Artikel Berkaitan:

Anak bekas Timbalan Perdana Menteri pada era Tun Abdul Razak, Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail yang juga bekas Ahli Parlimen Benut turut bertanding atas tiket Bebas.



Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!