'Sudah lama tak bercakap dengan Azmin'- Amirudin
GOMBAK - Itu membuktikan sudah lama kami tidak bercakap, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika ditanya media mengenai perkara yang disembangkan bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika bertentang mata di Pusat Penamaan Calon di Dewan SMK Sungai Pusu pada Sabtu.
Dua figura politik itu dilihat tidak kekok sebaliknya saling bersapa dan berpelukan sementara menunggu pintu dewan dibuka bagi proses penamaan calon yang bermuka jam 9 pagi.
Mohamed Azmin dan Amirudin sebelum ini mempunyai hubungan yang akrab dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) namun Langkah Sheraton menyebabkan kedua-dua mereka mulai renggang dan membuat haluan masing-masing.
Ditanya berkenaan sering dibayangi Mohamed Azmin, Amirudin menjelaskan itu adalah pandangan lama dan kini mereka membuat haluan masing-masing selepas tidak lagi bernaung di bawah satu parti.
"Sudah hampir dua tahun saya tak ikut jejak beliau dan saya ambil pendekatan setia dengan PH kerana dasar kita jelas untuk kemakmuran dan kesejahteraan Malaysia.
"Berbanding dengan pandangan saudara Azmin, hala tujunya telah membawa kepada kerajaan tidak stabil," katanya selepas proses penamaan calon di SMK Sungai Pusu Gombak pada Sabtu.
Parlimen Gombak pada PRU15 menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan Mohamed Azmin yang merupakan penyandang Parlimen Gombak, Amirudin (PH), Datuk Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir (Parti Pejuang Tanah Air), Ir Zulkifli Ahmad (Bebas) dan Datuk Megat Zulkarnain Omardin (BN).
Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, pertembungan lima calon itu bukan sesuatu yang mudah namun mampu mempertahankan kerusi PKR itu berdasarkan mood dan sentimen sokongan rakyat.
Jelasnya, beliau akan menggunakan keupayaan yang ada sebagai MB untuk membawa pelan pembangunan Gombak dijangka dalam masa terdekat.
"Saya harap dapat sambung mandat rakyat di Gombak seperti penggal-penggal sebelum ini.
Kita akan pastikan segala strategi dimanfaatkan, dan kempen dapat berjalan dalam suasana baik dan teratur.
"Sudah pasti cabaran itu ada, lawan kita juga adalah yang berpengalaman, namun saya begitu percaya dengan suara hati orang Gombak yang jelas boleh membawa kemenangan tapi tidak boleh ambil mudah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!