Ibu tak tidur lena, risaukan anak jadi calon
LARUT - Ibu kepada calon BN di kerusi Parlimen Larut tidak dapat tidur lena sejak anaknya, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud diumum bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Zairah Abdullah, 66, berkata, perasaannya ketika ini banyak dipengaruhi rasa bimbang dan takut jika anak ketiga daripada empat beradik itu nanti tidak disenangi oleh pengundi-pengundi.
Menurutnya, apatah lagi, PRU15 ini adalah kali pertama Mohd Shafiq Fhadly bertanding dan berdepan dengan nama-nama besar terutama Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menyandang kerusi Larut sejak 2008.
"Risau sampai tak boleh tidur, lagipun lawannya itu bukan calang-calang. Masa tahu dia dicalonkan untuk Kubu Gajah (DUN), saya ok saja, tetapi bila diberitahu dia akan bertanding di Parlimen, saya jadi takut.
"Malam tadi pun tidur tak lena. Saya bimbangkan dia, saya takut orang tak suka pada dia nanti," katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon PRU15 Parlimen Larut di Pejabat Daerah dan Tanah Selama di sini pada Sabtu.
Meskipun khuatir dan bimbang, Zairah tetap merestui pilihan anaknya itu dan sentiasa menyokong penglibatan Mohd Syafiq Fhadly dalam politik.
"Dia minat betul dengan politik, harap perjalanannya nanti dipermudahkan dan harapan sebagai ibu, sudah tentu mahu dia menang," katanya.
Mohd Syafiq Fhadly, 37, diumum sebagai calon BN bagi Parlimen Larut selepas Datuk Mohd Kazim Elias menarik diri sebagai calon di kerusi berkenaan.
Pada PRU15 ini, kerusi Parlimen Larut bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru.
Selain Hamzah yang mewakili Perikatan Nasional (PN), Mohd Shafiq Fhadly turut dicabar Zolkarnain Abidin daripada Pakatan Harapan(PH) dan Auzaie Fadzlan Shahidi mewakiki Gerakan Tanah Air (GTA).
Pada PRU14 lalu, Hamzah menang kerusi Parlimen Larut atas tiket BN selepas mengalahkan calon Pas, Abu Husin Mohamad dengan majoriti undi sebanyak 4,486.
Hamzah kemudiannya umum keluar dari UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2019.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!