Calon naik 'buggy' ke pusat penamaan calon
IPOH - Calon-calon bagi kerusi Parlimen Tambun, Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi dan DUN Hulu Kinta dibawa menaiki 'buggy' ke pusat penamaan calon di Dewan Sri Klebang, Institut Latihan Perindustrian Ipoh di sini pada Sabtu.
Calon BN, Datuk Aminuddin Md Hanafiah bersama calon DUN Manjoi, Datuk Azizul Kama Abdul Aziz dan DUN Hulu Kinta, Datuk Mazlan Abdul Rahman tiba terlebih dahulu di Pusat Penamaan Calon diikuti calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama calon DUN Manjoi, Datuk Asmuni Awi dan calon DUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad.
Sementara itu calon PH, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersama calon DUN Manjoi, Hafez Sabri dan calon DUN Hulu Kinta, Puteri Holijah Muhamad Rali tiba tidak lama selepas itu diikuti calon dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Abdul Rahim Tahir.
Usai penyerahan borang, kesemua calon duduk sebentar di meja makan yang disediakan di dewan berkenaan sementara borang pencalonan diproses.
Menariknya, Ahmad Faizal dan Aminuddin duduk semeja bersama penyokong dan pencadang masing-masing manakala Azizul Kama dan Puteri Holijah turut duduk semeja.
Bagaimanapun, Anwar, Asmuni dan Mohamad Arafat duduk semeja dengan penyokong serta pencadang masing-masing.
Kerusi Parlimen Tambun menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan Ahmad Faizal selaku penyandang akan menentang Anwar, Aminuddin dan Abdul Rahim.
Bagi kerusi DUN Manjoi, hanya tiga calon bertanding melibatkan penyandangnya, Asmuni dan dua lagi calon iaitu Azizul Kama dan Hafez.
Sementara kerusi DUN Hulu Kinta mempertemukan empat calon iaitu Muhammad Arafat selaku penyandang dengan Mazlan, Puteri Holijah serta seorang calon Bebas, S Murugiah yang akan menggunakan lambang gajah.
Kesemua calon disahkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Tambun, Datuk Mohamad Fariz Hanif selepas tiada borang yang dikemukakan ditolak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!