Ahli UMNO jadi calon parti lawan dipecat automatik
SHAH ALAM - UMNO memecat secara automatik ahli-ahli parti itu yang menjadi calon kepada parti lawan semasa penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, turut dipecat ahli-ahli yang menjadi pencadang dan penyokong kepada calon parti lawan."Keahlian mereka di dalam UMNO dengan ini tergugur secara automatik sesuai dengan Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO.
"Ingin ditegaskan, berdasarkan Fasal 20.11 ini, UMNO akan memantau secara berterusan sekiranya terdapat mana-mana ahli yang terlibat dengan aktiviti menyokong calon parti lawan, sepanjang tempoh kempen PRU15 dan tindakan memecat keahlian mereka akan diambil serta-merta," katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Maslan menegaskan, UMNO tidak akan bertolak ansur terhadap tindakan-tindakan khianat oleh mana-mana ahlinya.
Menurut beliau, UMNO telah meneliti senarai calon-calon yang telah mengemukakan pencalonan dan diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menyertai PRU15.
Katanya, berdasarkan laporan yang diterima, terdapat ahli-ahli UMNO yang menjadi calon, pencadang dan penyokong kepada parti lawan.
Senarai ahli UMNO yang dilaporkan bertanding atas tiket parti lawan dan tampil sebagai calon Bebas adalah:
- Penyandang Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim (Perikatan Nasional).
- Penyandang Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib (Perikatan Nasional).
- Penyandang Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin (Bebas).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!