Penamaan calon: Polis kesan dua kesalahan guna dron, alat muzik
KOTA BHARU - Polis Kelantan mengesan dua kesalahan iaitu penggunaan dron dan alat muzik yang boleh mengganggu ketenteraman awam sepanjang tempoh penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di negeri ini pada Sabtu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dua insiden itu berlaku masing-masing di Rantau Panjang dan Kuala Krai.
"Dron tidak boleh diterbangkan tanpa kebenaran Jabatan Penerbangan Awam (DCA). Kesemua mereka diberi nasihat dan tiada tindakan diambil," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena PRU15 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri Kelantan di sini.
Menurutnya, walaupun perkara itu dianggap remeh tetapi mereka boleh mempengaruhi individu lain sekali gus mengakibatkan gangguan ketenteraman.
Muhamad Zaki berkata, seramai 2,301 pegawai dan anggota polis termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan unit udara ditugaskan memantau kesemua pusat penamaan calon di 14 Parlimen.
Beliau turut memuji calon dan penyokong sepanjang proses penamaan calon yang memberi kerjasama sepanjang penamaan calon.
"Kita percaya, proses PRU15 pada 19 November akan berjalan lancar dan berkempen bermula hari ini (Sabtu) sehingga 18 November ini akan berlangsung dengan aman," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!