Zahidi tanding Bebas di Parlimen Padang Besar, DUN Titi Tinggi
PADANG BESAR - Datuk Zahidi Zainul Abidin, yang digugurkan daripada senarai calon BN pada Sabtu bertanding atas tiket Bebas bagi kerusi Parlimen Padang Besar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Penyandang kerusi Padang Besar itu sejak 2013 berdepan saingan lima penjuru dengan tentangan daripada calon BN Datuk Zahida Zarik Khan; Datuk Rushdan Rusmi (PN-Pas), Mohamad Saad @ Yahya (PH-Amanah) dan Ko Chu Liang (Warisa).
Zahidi, yang merupakan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, beliau tidak bersetuju dengan keputusan BN untuk menampilkan calon dari luar Perlis.
"Walaupun kita bersimpati dengan calon ini, yang idahnya masih belum habis, tetapi oleh kerana kita tidak bersetuju dengan cara keputusan (Datuk Seri Ahmad) Zahid Hamidi, maka kita terpaksa teruskanlah walaupun dengan bertanding sebagai calon Bebas.
"Peluang untuk menang kali ini... apa yang mampu saya lihat adalah kita hanya merancang dan ALLAH yang akan menentukan,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Tuanku Syed Putra Maktab Rendah Sains MARA pada Sabtu.
Zahida, yang merupakan Ketua Puteri UMNO, kematian suami pada 20 Ogos lepas dan masih dalam tempoh idah selama empat bulan 10 hari sebagaimana ditetapkan hukum Islam.Pada PRU14, Zahidi bertanding atas tiket BN dan memenangi kerusi Padang Besar dengan majoriti 1,438 undi menewaskan calon PKR, Izizam Ibrahim dan Pas Mokhtar Senik.
Bagi pertandingan di DUN Titi Tinggi pula, Zahidi terlibat saingan enam penjuru bersama Khaw Hock Kong (Warisan), Teh Seng Chuan (PH-DAP), Izizam Ibrahim (PN-Bersatu) dan Mohd Shahril Md Sarif (GTA-Pejuang) untuk menentang penyandang kerusi Teh Chai Aan (BN-MCA).
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 19 November dan pengundian awal pada 15 November.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!