Semua bilik gerakan PDM Parlimen Jasin beroperasi

Hasan ketika sidang akhbar di Pejabat JAPERUN Bemban, pada Sabtu
Hasan ketika sidang akhbar di Pejabat JAPERUN Bemban, pada Sabtu
A
A
A

JASIN - Sembilan daripada 38 bilik gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam Parlimen Jasin yang didakwa ditutup telah diaktifkan semula operasi bermula pada Sabtu.

Penasihat Pilihan Raya BN Parlimen Jasin yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Rahman berkata, tindakan penutupan bilik gerakan PDM tiga hari lalu disebabkan beberapa faktor termasuk kurang berpuas hati dengan pemilihan calon.

"Saya telah menegaskan kepada semua jentera parti di Parlimen itu bahawa di depan adalah duri manakala di belakang adalah api. Sekarang adalah waktu tepat untuk bekerja kuat bagi memenangi hati rakyat.

Dalam tempoh ini kita mesti berjiwa besar supaya boleh menerima apa jua kritikan dan jawab semua kritikan dengan baik.

"Saya yakin masyarakat dan pengundi akan terima kita nanti," katanya ketika sidang akhbar di Pejabat JAPERUN Bemban di sini, pada Sabtu.

Tambah beliau, gerak kerja jentera Parlimen Jasin telah beroperasi secara konsisten sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November tahun lalu.

"Kita tahu akan berhadapan dengan Pilihan Raya Umum (PRU15) kerana itu jasin tidak berhenti (kerja), jentera kami semua bergerak dengan begitu baik," katanya lagi.

Jelas Hasan, BN terbukti menjadi sebuah kerajaan yang stabil namun disebabkan fitnah dan adu domba telah mengakibatkan parti itu kehilangan kuasa pada PRU lalu.

Artikel Berkaitan:

"Tugas jentera pada PRU15 ini adalah untuk memberikan keyakinan kepada rakyat jelata bahawa BN sudah berubah dan ingin mengubah susana.

"Ini supaya kestabilan dan kemakmuran demi rakyat benar-benar dapat diterjemahkan," katanya.

Pada PRU14 lalu, Datuk Ahmad Hamzah dari BN mempertahankan kerusi Parlimen Jasin setelah menewaskan calon PH, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan calon Pas, Abd Alim Shapie dengan 26,560 undi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!