BN Permatang Pauh fokus empat isu utama
PERMATANG PAUH - BN Permatang Pauh akan menfokuskan empat isu utama untuk diketengahkan sepanjang kempen Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) yang bermula pada Sabtu.
Calon BN, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, kawasan Permatang Pauh memerlukan perubahan selain penyesaian masalah seperti isu banjir dan kesesakan jalan raya yang membelenggu mereka sejak sekian lama.
Menurutnya, isu perumahan dan sekolah yang dihadapi oleh penduduk di kawasan itu akan diperjuangkan oleh BN sekiranya beliau diberi mandat oleh rakyat pada pilihanraya kali ini.
Fokus PRU15 kali ini, BN akan tampil dengan strategi baharu berbanding strategi yang dijalankan sebelum ini.
"Di peringkat BN Permatang Pauh, kita akan tampilkan kempen dengan empat isu yang membelenggu rakyat sejak sekian lama dan masih belum diselesaikan seperti isu banjir, isu perumahan,isu jalan raya dan sekolah,"katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), di sini pada Sabtu.
Mohd Zaidi berkata, selepas tempoh 23 tahun Permatang Pauh diwakili oleh legasi keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini masyarakat dikawasan itu memerlukan anjakan baharu supaya segala pembangunan di sini yang perlahan dapat dilaksanakan.
Sementara itu, Calon PH yang juga penyandang kerusi berkenaan, Nurul Izzah Anwar berkata, walaupun Permatang Pauh dianggap sebagai kubu kuat PKR namun beliau tidak memandang ringan kemampuan pihak lawan.
"Kita perlu menghormati hasrat mana-mana parti untuk bertanding kerana yang kita fokus bukan tentang organisasi lain tetapi pengukuhan parti kita, apa yang mampu ditawarkan dan merealisasikan perubahan," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden PKR itu turut mengharapkan pengundi muda dapat melaksanakan tanggungjawab mereka pada PRU15.
“Saya pernah berumur 18 tahun dan tidak boleh mengundi ketika itu, namun sekarang masa depan saya, masa depan semua kerusi-kerusi di Malaysia, sebahagiannya terletak dalam tangan pengundi muda.
“Jadi undilah baik-baik kerana tidak selalu dapat peluang sebegini lebih-lebih lagi kita nampak pilihannya jelas di depan mata, antara jauhari dengan manikam antara madu dan racun,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!