Veteren UMNO kecewa dengan Shahidan
ARAU - Tindakan Datuk Seri Shahidan Kassim yang sanggup menukar logo parti semata-mata untuk kekal bertanding di Parlimen Arau menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan pengundi dan ahli veteran UMNO.
Veteran UMNO, Ramli Harun, 73, berkata, Shahidan yang sudah menjadi wakil rakyat hampir 40 tahun sepatutnya akur dengan keputusan parti, namun beliau mengambil jalan berbeza meninggalkan parti untuk agenda peribadi.
“Shahidan ini seorang pemimpin yang baik terutama dalam hal menjaga kebajikan rakyat. Situasi hari ini, ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa.
“Saya memang kecewa dengan tindakan Shahidan. Saya menjadi ahli UMNO sejak cukup umur sehingga sekarang. Beliau wakil rakyat yang baik tapi kalau nak suruh saya pangkah parti lain selain BN memang mustahil.
“Dulu Shahidan pernah minta mereka yang digugurkan daripada senarai calon untuk terima kenyataan dan istiqamah bersama UMNO dan BN tetapi sekarang, beliau sendiri mengambil jalan berbeza,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Sementara itu, Ketua Cawangan UMNO Kampung Telok, Fauzi Omar, 54, menyifatkan tindakan bekas Ahli Parlimen Arau itu sebagai satu pengkhianatan kepada ahli-ahli UMNO terutamanya di kampung tersebut.
Bagi pengundi-pengundi di kampung ini masih setia dengan UMNO. Kita tak pilih individu, kita hanya pilih parti. Sebenarnya, jika beliau bertanding atas tiket bebas, kami tidak marah dan kecewa sangat. Mungkin ada yang akan mengundi beliau.
“Tapi atas tiket Perikatan Nasional ini, kita tak akan bagi. Sebab sejak dulu kita berlawan dengan Pas, mana boleh. Dulu beliau maki Pas, tiba-tiba hari ini sertai mereka dan tinggalkan ahli UMNO. Macam mana kami nak undi Shahidan, minta maaflah,” ujarnya.
Bagi Salleh Chin, 60, dia mahukan wakil rakyat baharu yang dapat membela dan menyelesaikan masalah yang dihadapi pesawah terutama berhubung masalah pengaliran air berpunca dari sekatan air di depan pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran negeri di Pengkalan Asam.
“Pada pendapat saya, sepatutnya Shahidan kena berlapang dada dan memberi laluan kepada calon baharu yang dipilih kepimpinan BN.
“Saya sendiri mahukan wakil rakyat baharu. Pemimpin yang dapat membela nasib pesawah terutamanya di kawasan Arau ini. Majoriti penduduk di sini adalah golongan pesawah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!