Paul Yong iringi anak jadi calon
BATU GAJAH - Bekas Exco Kerajaan Perak, Paul Yong Choo Kiong mencuri tumpuan di Pusat Penamaan Calon bagi kerusi Parlimen Batu Gajah apabila hadir menemani anaknya, Bryan Yong Wu Sean yang menjadi calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tronoh pada Sabtu.
Paul Yong yang juga penyandang kerusi DUN Tronoh itu berpakaian serba ungu bersama penyokong dari Parti Bangsa Malaysia (PBM) berarak membawa calon ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Bandaran Kinta, di sini.
Bryan Yong, 25, berdepan pertembungan enam penjuru di kerusi Tronoh dengan calon Pakatan Harapan (PH), Steven Tiw, calon BN, Leong Chee Wai dan calon Perikatan Nasional (PN), Sin Koon Yen.
Dua lagi calon yang bertanding di kerusi itu masing-masing dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Roslan Ismail dan calon Bebas, Shahimudin Hasim.
Bryan Yong ketika ditemui Sinar Harian pada Jumaat memaklumkan keputusan bertanding di kerusi itu dibuat bagi menyambung legasi bapanya.
Malah bapanya itu turut memberi restu untuk berkecimpung dalam politik dengan bantuan rakan-rakan dalam PBM.
Pada PRU14, Paul Yong memenangi kerusi itu atas tiket PH dengan majoriti 10,501 undi selepas menewaskan calon dari BN, Yuen Chan How dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Chin Kwai Heng.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!