PRU15: Beberapa nama besar politik negara muncul semula

Gambar dari kiri: Rafizi, Johari, Mohamed Khaled, Ong Tee Keat
Gambar dari kiri: Rafizi, Johari, Mohamed Khaled, Ong Tee Keat
A
A
A
KUALA LUMPUR - Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini menjadi 'gelanggang' buat beberapa nama besar dalam arena politik negara membuat penampilan semula setelah berehat seketika dalam arena politik.

Antara mereka ialah calon BN Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang bertanding di kerusi Parlimen Kota Tinggi.

Naib Presiden UMNO dan bekas Menteri Besar Johor itu akan berdepan saingan tiga penjuru di kerusi terbabit, selepas kalah mengejut di Parlimen Pasir Gudang kepada calon Pakatan Harapan (PH), Hassan Karim pada PRU14 dengan majoriti 24,726 undi selain turut tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas.

Seperti Mohamed Khaled, seorang lagi calon BN Datuk Seri Johari Abdul Ghani juga kembali mencuba nasib di kerusi Parlimen Titiwangsa yang pernah dimenanginya pada PRU13, namun tsunami politik ketika PRU14 menyaksikan beliau tewas kepada calon PH, Datuk Seri Rina Mohd Harun dengan majoriti 4,139 undi.

Pada PRU kali ini, bekas Menteri Kewangan Kedua itu berdepan saingan empat penjuru melawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (GTA-Pejuang), Khalid Abd Samad (PH-Amanah) dan Dr Rosni Adam dari Perikatan Nasional (PN-Pas).

Selain calon BN, turut mencuri tumpuan pada PRU15 ialah taruhan PH di kerusi Parlimen Pandan apabila Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli membuat kemunculan semula selepas tidak dapat bertanding di Parlimen sama pada PRU lepas.

Turut membuat kemunculan pada PRU15 ini di kerusi berkenaan ialah bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Tee Keat yang telah menyertai Warisan, selepas berehat lima tahun dari arena politik negara.

Tee Keat yang juga bekas Menteri Pengangkutan pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pandan selama dua penggal dari 2004 hingga 2013, manakala Rafizi pula tidak bertanding pada PRU14 kerana hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen selepas Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Februari 2018, menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan terhadapnya kerana mendedahkan butiran empat akaun bank membabitkan Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Tempat Rafizi kemudian digantikan Pengerusi Penasihat PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang bertanding atas tiket PH dan Wan Azizah menang di kerusi Parlimen Pandan dengan majoriti 52,543 undi, dalam persaingan lima penjuru.
Artikel Berkaitan:


Rafizi menjadi Ahli Parlimen Pandan sepenggal bermula 2013 hingga 2018 selepas memenanginya pada PRU13.

Di Parlimen Batu pula, bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua Chang atau Tian Chua mencipta kejutan apabila bertanding atas tiket Bebas dalam saingan 10 penjuru menentang penyandangnya P Prabakaran (PH-PKR), serta empat lagi calon Bebas yang terdiri daripada Siti Kasim, Zulkifli Fattah, Too Gao Lan dan Nur Fathiah Syazwana @ Cleo.

Calon lain yang turut bertanding ialah Wan Azliana Wan Adnan (GTA-Pejuang), Azhar Yahya (PN-Pas), Naganathan Pillai (Warisan) dan A Kohilan Pillay (BN-MIC).

Tian Chua mula bertanding di Parlimen Batu pada 2004 (PRU11), namun tewas kepada calon Gerakan Ng Lip Yong sebelum kemudiannya berjaya merampas kerusi itu pada 2008 (PRU12) dan mempertahankannya pada 2013 (PRU13).

Tian Chua menyatakan mahu kembali ke kerusi itu demi mengotakan janjinya kepada pengundi selepas hilang kelayakan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Mac 2018 yang mengekalkan sabitan bersalah terhadapnya atas tuduhan menghina kehormatan seorang anggota polis. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!