Proses penamaan calon di Kuala Lumpur, Putrajaya tenang
KUALA LUMPUR - Tiada sebarang insiden kekecohan atau provokasi melampau dilaporkan melibatkan keseluruhan 12 lokasi pusat penamaan calon di Kuala Lumpur dan Putrajaya pada Sabtu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pemantauan dijalankan pihaknya mendapati tiada sebarang insiden berlaku yang boleh menggugat proses demokrasi sepanjang berlangsungnya proses penamaan calon.
"Polis Kuala Lumpur mengucapkan terima kasih kepada semua petugas dan pihak terlibat seperti Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), rakan-rakan media, calon-calon yang bertanding serta penyokong-penyokong dari setiap parti kerana telah memberikan kerjasama yang baik," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, semua pihak terlibat diingatkan agar mematuhi peraturan ditetapkan sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Mereka yang terlibat dalam PRU15 ini diingatkan supaya berdisiplin dan berfikiran matang dalam meraikan demokrasi negara ini.
"Selain itu peringatan turut diberikan agar mereka terlibat supaya tidak mengambil tindakan sendiri yang bertentangan dengan undang-undang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!