BN Sabah nafi restu calon PBRS tanding di Ranau
KOTA KINABALU - BN Sabah kesal dengan tindakan parti komponennya Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang membelakangkan keputusan pucuk pimpinan parti dengan membenarkan Datuk Ewon Ebin bertanding di kerusi Parlimen Ranau atas tiket PBRS.
Setiausahanya, Datuk Jafry Ariffin berkata, tindakan itu jelas tidak menghormati keputusan Pengerusi BN.
Kita sama sekali menafikan penggunaan logo BN oleh PBRS dan BN tidak merestuinya.
"Calon PBRS ini tidak mempunyai watikah BN untuk bertanding di kerusi Parlimen Ranau," katanya dalam kenyataan di sini, pada malam Sabtu.
Beliau berkata, selaras dengan kesepakatan yang dicapai antara BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), BN Sabah akan mengarahkan semua jentera parti untuk bekerja dan memenangkan calon GRS di Ranau.
"BN Sabah akan terus menghormati kerjasama antara BN dan GRS di negeri ini dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan di Parlimen Ranau ini penyokong BN akan terus memberi sokongan kepada calon GRS," katanya.
Ujar Jafry, Setiausaha Agung PBRS telah memaklumkan kepada calon berkenaan yang juga Ketua Penyelaras PBRS Parlimen Ranau melalui surat bertarikh 4 November mengenai keputusan parti itu untuk membatalkan penggunaan simbol PBRS.
Sebelum itu, proses penamaan calon yang berlangsung pada Sabtu menyaksikan Ewon Ebin bersaing dalam pertembungan lima penjuru di Parlimen Ranau, sekali gus bertarung dengan calon yang diketengahkan sekutu mereka daripada GRS.
Ewon akan menentang calon GRS yang juga penyandang kerusi berkenaan, Datuk Jonathan Yasin, Taufik Dahlan (Pakatan Harapan), Azizul Julirin (Pejuang) dan Markos Siton (Warisan).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!