'Calon yang menang nanti jangan lupa kami' - Peniaga kecil
ALOR SETAR - Para peniaga meletakkan harapan yang tinggi kepada calon parti bertanding agar tidak mengabaikan mereka selepas menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)
Seorang peniaga kedai makan, Mastura Md Arop, 36, berkata, keadaan ekonomi yang tidak menentu memberikan sedikit tekanan kepada mereka kerana harga barangan asas dan juga mentah turut meningkat.
Menurutnya, golongan itu juga kini dalam fasa untuk kembali bangkit selepas mengalami kerugian, malah ada yang terus menutup perniagaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Masa PKP dulu memang ramai peniaga yang terpaksa gulung tikar. Pada calon yang berjaya menjadi wakil rakyat jangan lupa kami kerana ramai peniaga masih lagi perlu dibantu untuk kembali bangkit," katanya semasa ditemui Sinar Harian berdekatan Hospital Sultanah Bahiyah, dekat sini pada Sabtu.
Bagi pengusaha kuih tradisional, Mohd Syukri Jamaludin, 47, dari Naka, Kuala Nerang berkata, peniaga kecil sepertinya masih lagi mengharapkan perhatian daripada wakil rakyat untuk terus membela nasib mereka.
Jelasnya, para usahawan meletakkan harapan kepada calon parti yang menang kerana masih ramai yang mahu kembali bangkit selepas PKP tamat.
"Kita mengharapkan mana-mana calon yang menang dan menjadi wakil rakyat agar tidak melupakan kami usahawan kecil di jalanan.
"Suasana hari ini sangat mencabar dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu. Kita mengharapkan agar ada sinar baharu daripada semua ahli Parlimen yang menang pada PRU15 dalam membentuk kerajaan yang akan datang," ujar Mohd Syukri.
Pengusaha kuih donat, Mohd Zaini Ahmad, 46, pula berkata, peniaga di jalanan perlu dibantu daripada sudut memudahkan bantuan pinjaman bagi membesarkan lagi perniagaan mereka.
Menurutnya, ramai juga usahawan gagal dalam permohonan pinjaman daripada agensi-agensi kerajaan disebabkan oleh syarat yang ketat.
"Sekarang nak mohon pinjaman susah sikit sebab perlu banyak dokumen sokongan. Dulu mudah sahaja peniaga nak pinjam.
"Saya juga mohon jumlah pinjaman dapat ditingkatkan kerana kos perniagaan turut meningkat pada masa Ini," kata Mohd Zaini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!