Saingan 4 penjuru tidak jejaskan BN

Rozi
Rozi
A
A
A

HULU TERENGGANU - Calon BN Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rozi Mamat tidak melihat pertembungan empat penjuru di kerusi tersebut dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan memberi kesan kepada sokongan pengundi parti itu.

Menurut Rozi, sokongan dan penerimaan pengundi terhadap UMNO kini dilihat semakin positif dan atas dasar itu, beliau akan berusaha sebaik mungkin untuk mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Terengganu agar kekal menjadi milik BN.

"Pecahan undi sudah pasti berlaku kerana akan ada orang yang akan pangkah (parti lain bertanding) tapi bagi saya, ia tidak akan menjejaskan penyokong BN kerana ahli UMNO di sini sudah kembali yakin dengan BN," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Dalam PRU15 yang akan diadakan pada 19 November nanti, Parlimen Hulu Terengganu menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan empat bekas pendidik.

Rozi bakal berdepan saingan penyandang kerusi, Datuk Rosol Wahid (PN), Alias Ismail (Pakatan Harapan) dan Mohd Khadri Abdullah yang bertanding atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Rozi, Rosol dan Alias merupakan bekas guru manakala Mohd Khadri pula bekas pensyarah di Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC).

Sementara itu Rozi berkata, beliau berhasrat memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur pendidikan dan peningkatan ekonomi masyarakat setempat sekiranya diberi peluang menjadi wakil rakyat Parlimen ini.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong itu, beliau tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang namun itu antara perkara akan diutamakan nanti.

Artikel Berkaitan:

"Kita sudah ada manifesto peringkat Pusat dan negeri tapi di Hulu Terengganu kita lebih memberi tumpuan kepada ekonomi terutama usahawan, penjaja dan pemain industri pelancongan sedia ada," katanya.









Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!