'Terlalu awal bincang isu kerjasama dengan BN selepas PRU'

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

MUAR - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, terlalu awal untuk membincangkan mengenai isu kerjasama antara parti gabungan itu dengan BN selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, buat masa ini pihaknya mahu mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung kenyataan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan kesediaannya bekerjasama dengan mana-mana gabungan, sekiranya parti itu tidak dapat meraih majoriti mudah.

"Saya tak kata ya atau tidak, sebab ini bukan satu hak bagi diri saya sebagai Presiden Bersatu, sebab kita ada PN,” kata beliau kepada pemberita selepas sesi santai bersama penduduk di Warung Lorong Paip di sini, malam tadi.

Katanya, apabila tiba masanya perkara itu akan dibincangkan di peringkat Majlis Pimpinan PN terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan akhbar berbahasa Inggeris semalam yang memetik kenyataan Ahmad Zahid yang sedia untuk bekerjasama dengan mana-mana gabungan parti sekiranya BN gagal mendapat majoriti mudah.

Ahmad Zahid yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk dipetik sebagai berkata, BN juga bersedia dengan apa sahaja cara, asalkan dapat membentuk kerajaan persekutuan yang stabil dari segi politik. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!