Pelatih NHDP meninggal dunia di asrama MSN Perak
IPOH - Seorang pelatih Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) yang mengikuti Program Klinik Penjaga Gol di Akademi Hoki Raja Ashman di sini, meninggal dunia di asrama Majlis Sukan Negara (MSN) Perak pagi tadi.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, Bill Wolfson Anak Lianie, 14, mengadu tidak selesa serta berasa hendak pitam lalu tiba-tiba rebah di dalam dalam biliknya kira-kira pukul 7 pagi.
"Pengurusan NHDP telah memanggil ambulans dan bantuan pernafasan telah dilakukan sebelum dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
"Selepas cubaan menyelamatkannya dilakukan, mendiang telah disahkan meninggal dunia dan sehingga kini tidak dapat dipastikan punca kematiannya," katanya ketika ditemui Bernama di Jabatan Forensik HRPB di sini hari ini.
Beliau berkata mendiang Wolfson adalah antara penjaga gol di Pusat Latihan Daerah NHDP di Sekolah Menengah Kebangsaan Penrissen, Kuching, Sarawak yang terpilih mengikuti klinik penjaga gol yang dikendalikan oleh NHDP di Akademi Hoki Raja Ashman Shah di sini bermula semalam hingga hari ini.
Menurutnya, mendiang ditemani oleh Ketua Jurulatih Remaja Negeri Sarawak Wilina Mac Carina Anak Wilson dan tiba di Ipoh pada Khamis lepas dengan menaiki penerbangan bagi menghadiri klinik penjaga gol sempena penganjuran Piala Sultan Azlan Shah.
"Pihak keluarga telah dihubungi dan pengurusan NHDP sedang berurusan dengan hospital mengenai pengurusan jenazah.
"Ibu saudara mendiang Wolfson sedang dalam perjalanan dari Selangor ke Ipoh bagi membantu kelancaran pengurusan jenazah. Mendiang Wolfson dijangka diterbangkan ke Kuching bagi urusan pengebumian," katanya.
Ahmad Shapawi berkata, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut berdukacita dan telah mengarahkan pengurusan MSN, Persekutuan Hoki Malaysia dan NHDP supaya memudahkan pengurusan jenazah mendiang Wolfson.
Katanya, Kerajaan Negeri Perak melalui MSN Perak turut membantu pengurusan jenazah dan kesemua pihak termasuk rakan-rakan sepelatihnya yang mengikuti klinik itu berasa amat dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan Persatuan Hoki Sarawak. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!