Pemandu lori tak ambil upah cari buluh pasang bendera parti
SEREMBAN - Meskipun tidak menerima sebarang upah, seorang pemandu lori secara sukarela mencari buluh untuk memasang bendera parti bagi menghangatkan kempen Pilihan Raya Umum ke-15(PRU15).
Semua itu dilakukan Mohd Zaini Mahussain, 52, demi semangat perjuangannya bersama dengan Pas yang disertainya ketika di usia muda lagi.
"Pas ini bukannya macam parti lain yang sumber kewangannya besar dan sebab itu apa yang saya boleh lakukan untuk parti, saya akan buat.
"Sekarang ini nak beli batang paip dan kayu untuk digunakan bagi memasang bendera bukannya murah. Jadi sebab itu saya ambil inisiatif mencari buluh," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Walaupun bukan menjadi kewajipan bagi setiap parti memasang bendera apabila waktu pilihan raya, namun katanya, suasana pilihan raya akan menjadi kurang meriah tanpa adanya perang bendera dan ia juga secara tidak langsung dapat menaikkan semangat calon yang bertanding.
"Bagi saya meriahnya pemasangan bendera parti ini tidak memberi kesan apa-apa kepada pengundi. Cuma macam ada yang kurang jika parti lain ada pasang bendera, parti kita pula tiada.
"Zaman sekarang ini orang berkempen guna media sosial, tapi kita teruskan tradisi pasang bendera setiap kali pilihan raya," jelasnya.
Sementara itu Mohd Zaidi yang tinggal di Springhill, Port Dickson berkata, setakat ini, sebanyak 80 bendera Perikatan Nasional (PN) telah dipasangnya di sekitar kawasan Springhill.
.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!