Lima calon Berjasa berdepan calon 'heavyweight'

Fahmi Bazlan (kiri) mencabar Presiden Amanah, Mohamad Sabu (kanan) yang juga merupakan penyandang kerusi Parlimen Kota Raja di parlimen berkenaan pada PRU15. (Gambar dalam : Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad )
Fahmi Bazlan (kiri) mencabar Presiden Amanah, Mohamad Sabu (kanan) yang juga merupakan penyandang kerusi Parlimen Kota Raja di parlimen berkenaan pada PRU15. (Gambar dalam : Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad )
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) menghantar 13 calon bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) melalui Gerakan Tanah Air (GTA) dengan logo Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Pengarah Pilihan Raya Berjasa, Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad berkata, pada PRU15 lima daripada 13 calon yang bertanding bakal berdepan dengan nama-nama besar atau calon ‘heavyweight’.

"Sungguhpun begitu Berjasa tidak gentar kerana semua calon Berjasa mempunyai kelebihan kerana bersih dari rekod salah laku dan merupakan calon muka baharu yang dinantikan pengundi.

"Pada masa sama semua calon Berjasa berpengalaman memberikan khidmat kepada masyarakat setempat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Calon paling muda Berjasa ialah Auzaie Fadzhlan Shahidi, berusia 27 tahun dan bakal menyaingi calon 'heavyweight' Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Larut iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Di Putrajaya, Timbalan Presiden Berjasa, Datuk Mohd Rosli Ramli yang juga mantan Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Hal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri yang mencabar Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dari BN dan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Radzi Jidin dari PN.

Di Parlimen Kota Raja, aktivis muda, Fahmi Bazlan Muda mencabar Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) juga penyandang kerusi Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu daripada Pakatan Harapan (PH).

Sementara calon keempat, Muhammad Nazriq Abdul Rahman, 36 tahun pula bakal menentang bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dan wakil PN, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Artikel Berkaitan:

Berjasa turut menawarkan calon profesional, seorang Pakar Perunding Bedah Ortopedik Dr Mohamad Nor Sundari yang berdepan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah di Parlimen Indera Mahkota.







Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!