Rayuan Prabakaran kepada Tian Chua

Prabakaran
Prabakaran
A
A
A


KUALA LUMPUR - Tindakan Tian Chua bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Batu boleh menyebabkan penyokong Pakatan Harapan (PH) di kawasan itu keliru.

Calon PH di Parlimen Batu, Prabakaran Parameswaran berkata, pencalonannya dan Tian Chua seolah-oleh dilihat dua calon PH bertanding di kawasan yang sama.

Menurutnya, tindakan itu akan merisikokan kekalahan PH dan menyebabkan calon BN mempunyai peluang untuk menang.

"Tian Chua masih ada masa untuk tarik balik pencalonan. Ini bukan pasal beliau atau saya tapi untuk membentuk kerajaan yang stabil.



"Saya bersyukur Tian Chua menyokong saya selama ini (sejak 2018) tetapi sedih beliau memilih untuk lawan saya dan ingkar arahan parti kali ini," katanya kepada pemberita di Sentul Raya pada Ahad.

Menjelas lanjut, beliau berkata, Tian Chua ada menghubunginya sebelum ini dan menuntut Prabakaran memulangkan semula watikan pencalonan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kepada jawatankuasa pilihan raya PH.

"Saya tolak saranan itu. Dia (Tian Chua) ada bercakap dengan Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tapi saya tidak tahu apa yang mereka bincangkan.

"Tapi akhirnya Tian Chua memilih untuk menjadi calon bebas. Saya tidak pernah melihatnya sebagai musuh," jelasnya.

Kerusi Parlimen Batu menyaksikan pertembungan 10 penjuru membabitkan calon penyandang, Prabakaran, pempengaruh media sosial yang juga ahli perniagaan Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin (Bebas), peguam Siti Kasim (Bebas) serta calon Pejuang, Wan Azliana Wan Adnan.
Artikel Berkaitan:


Beberapa nama lain yang turut bertanding termasuk calon BN, Datuk A Kohilan Pillay, Azhar Yahya (Perikatan Nasional), P Naganathan (Warisan), Too Cheng Huat (Bebas) dan Zulkifli Abd Fatah (Parti Rakyat Malaysia).

Pada PRU14 lalu, Prabakaran yang bertanding atas tiket Bebas dengan menggunakan lambang kunci menang kerusi berkenaan selepas mendapat 38,125 undi iaitu majoriti 24,438 undi menewaskan tiga lagi individu lain termasuk Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau (13,687 undi); wakil Pas, Azhar Yahya (10,610) dan Datuk VM Panjamothy (Bebas).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!