Covid-19: Pas ingatkan jentera waspada

Hishamuddin
Hishamuddin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pas Terengganu menasihati semua jentera parti itu yang terlibat dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sentiasa berwaspada dan peka dengan perkembangan semasa Covid-19 supaya tidak dijangkiti wabak tersebut.

Ketua Penerangan Pas Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, perkara itu penting bagi memastikan tempoh dua minggu pelaksanaan kempen PRU15 tidak menjadi pencetus kepada gelombang Covid-19 di negeri ini.

Menurutnya, walaupun kes Covid-19 di Terengganu masih berada dalam keadaan terkawal namun persediaan dan langkah awal harus diambil seiring dengan panduan diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kita sentiasa mengambil maklumat dan panduan dari KKM, jadi saya mengambil peluang ini menasihati semua jentera Pas supaya beri perhatian tentang isu ini (Covid-19)," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Ahad.

KKM sebelum ini dilaporkan terus memantau peningkatan kes Covid-19 sepanjang kempen PRU15 selain mengemas kini pendekatan yang akan diambil bagi mengekang penularan virus itu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, walaupun kes harian Covid-19 menunjukkan peningkatan, namun keadaan masih terkawal berdasarkan kepada data kemasukan pesakit ke hospital akibat jangkitan yang rendah.

Sementara itu, Hishamuddin yang juga ADUN Tepoh berkata, setakat ini kerajaan negeri sudah menyediakan sebanyak 200 buah bas sebagai kemudahan membawa perantau khususnya golongan mahasiswa pulang mengundi.

Kata beliau, ia merupakan salah satu inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk membantu melancarkan perjalanan balik lebih 8,000 perantau menunaikan tanggungjawab pada 19 November nanti.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak memilih 'warna politik' pengundi yang ingin menggunakan perkhidmatan bas ini dan tiada sebarang syarat tertentu dikenakan kepada mereka," katanya.

Pada PRU15, tujuh kerusi Parlimen Terengganu iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan calon dari Perikatan Nasional (PN), BN, Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Hanya Parlimen Dungun melibatkan lima penjuru apabila seorang peguam, Ghazali Ismail menawarkan diri bertanding sebagai calon bebas di kerusi tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!