Johari janji selesai isu Sungai Baru
KUALA LUMPUR - Calon BN Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memberi jaminan untuk menyelesaikan isu projek pembangunan Sungai Baru jika terus terpilih sebagai wakil rakyat di Parlimen itu kali ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, beliau mahu membela nasib rakyat dengan memastikan penglibatan secara terus dengan pemaju projek berkenaan bagi mengelak projek berkenaan terbengkalai dalam tempoh masa yang lama seperti Flat Pekeliling.
"Isu pembangunan tanah di Sungai Baru (timbul) bila saya tidak lagi menjadi wakil rakyat, dan pemaju dapat menyakinkan penduduk di situ kerana tiada siapa yang mewakili mereka.
"89 peratus bersetuju untuk pindah dan tandatangan secara sukarela tanpa paksa, tinggal 11 peratus dan pemaju menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk ambil baki peratus itu. Ini banyak orang tidak faham. Dia (pemaju) bukan hendak ambil tanah Kampung Baru tetapi pembangunan semula projek PKNS yang dulu lebih 42 tahun.
"Jadi, itu memang dibenarkan dalam akta. Tetapi isu sekarang adalah pemaju, saya tidak bersetuju dengan pihak mereka ketika saya menjadi wakil rakyat, namun hari ini mereka datang semula waktu saya tidak jadi wakil rakyat kerana ketika itu tidak ada wakil rakyat yang faham tentang pembangunan. Itu sebab jadi begitu. Empat tahun enam bulan sampai sekarang tidak pindah.
"Justeru saya harap kalau saya dilantik wakil rakyat semula perkara utama yang saya hendak pastikan adalah kepentingan 89 peratus ini dijaga supaya tidak terima nasib sama seperti Flat Pekeliling yang tidak siap selama 14 tahun," katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui bersama penduduk di Pasar dan Pusat Penjaja Wirawati, Kampung Pandan, di situ, pada Ahad.
Jelas Johari, beliau menyokong pembangunan dan Flat Sungai Baru juga dilihat tidak selesa dan mempunyai sistem kumbahan kurang baik yang perlu dinaik taraf.
Namun, katanya, pihak pemaju perlu main peranan bagi memastikan kerja mereka siap pada waktu yang ditetapkan.
“Flat Sungai Baru pula satu bilik tidur dan bilik air di mana tandas kalau flush (pam) pun keluar semua dan pendawaian dan pembersihan teruk. Saya sokong pembangunan dan saya cakap projek ini jangan terbengkalai macam Flat Pekeliling," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan calon Pakatan Harapan (PH), Khalid Samad tidak memahami secara terperinci isu pengambilan tanah penduduk itu.
"Dia (Khalid) tak faham sebenarnya akta pengambilan Kampung Baru ini dibuat oleh pemaju dan kerajaan, memang dia (pemaju) ada hak untuk gunakan akta itu untuk membangunkan semula projek kawasan itu termasuk Flat PKNS yang daif dan berusia lebih 42 tahun.
"Tetapi apa yang berlaku orang luar atau parti politik datang putar belit cerita seolah-olah kita hendak ambil tanah Kampung Baru. itu salah, ramai orang tidak faham. Sebagai pemimpin, kita permudahkan bukan kita masuk campur tetapi puak-puak ini datang cerita macam-macam,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!