Mangsa banjir akur nasihat pindah
RANTAU PANJANG - Tujuh sekeluarga termasuk seorang ibu bersama bayi sembilan bulan akur nasihat bomba supaya berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas tiga hari terkepung susulan banjir di Kampung Bendang Perol, Gual To’Deh di sini pada Ahad.
Mangsa banjir, Norasila Abdul Majid, 27, berkata, mereka berpindah pada waktu tengah hari kerana paras air di kawasan rumahnya semakin meningkat.
Menurutnya, setakat ini rumahnya dinaiki air sedalam 0.5 meter sejak banjir bermula pada Khamis lalu.
“Selain saya dan bayi, ada empat lagi adik berusia 11 sehingga 18 tahun dan ibu berusia 47 tahun tinggal di rumah ini.
“Kami semua akan berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh demi keselamatan nyawa sendiri,” katanya ketika ditemui di Kampung Bendang Perol, Gual To’Deh pada Ahad.
Norasila berkata, bapanya, Abdul Majid Ahmad, 56, terlebih dahulu sudah dihantar oleh adiknya yang berusia 18 tahun berpindah ke PPS tersebut pada Sabtu.
“Bapa penghidap sakit jantung dan buah pinggang. Dia juga tidak boleh berjalan kerana sakit gout.
“Adik dayung perahu untuk bawa bapa keluar ke jalan utama dan kemudian menaiki kereta PPS sejauh 200 meter,” katanya yang turut membawa bersama dokumen penting keluarganya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba, Shapawi Setapa berkata, keadaan air ketika ini masih bertahan dan sekiranya naik ia dijangka mampu mencecah 1.5 meter.
“Banjir ini melanda penempatan rendah antaranya Kampung Tersang, Putat Tujuh, Luar, Bendang Perol, Pengkalan Teluk dan Gertak Tiga.
“Jalan utama ke pekan Rantau Panjang masih boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan,” jelasnya.
Penduduk dinasihatkan peka kepada keadaan semasa dan arahan berpindah demi keselamatan nyawa masing-masing.
Pada Februari lalu, banjir sedalam tiga meter menenggelamkan kampung itu dan lebih buruk berbanding tahun 2014.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!