PRU15: Rakyat Terengganu pandai menilai
KUALA NERUS - Gelombang kebangkitan rakyat yang begitu kuat meyakinkan calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Kuala Nerus dapat mengalahkan calon lain yang bertanding bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Calon PH yang juga Ahli Jawatankuasa Amanah Negeri Terengganu, Datuk Seri Suhaimi Hashim berkata, sikap mendiamkan diri rakyat Terengganu bukan bererti mereka tidak pandai berpolitik.
“Di Terengganu ini kalau kita tengok rakyat senyap saja jangan ingat mereka tak reti (keadaan politik semasa), rakyat Terengganu pun cerdik. Dia rasa gelombang Malaysia di pantai barat.
“BN perintah negara selama 744 bulan, PH baru 22 bulan, jangan kita samakan yang perintah lama dengan baru, jangan jadikan 22 bulan sebagai ukuran,” katanya.
Menurutnya, fokus adalah untuk menang dan jika diberi mandat pada PRU15 nanti, tugasnya adalah untuk pembangunan negara.
Parlimen Kuala Nerus bakal menyaksikan perebutan empat penjuru pada PRU15 iaitu di antara Suhaimi sendiri daripada PH, Datuk Dr Mohd Khairuddin (BN), Datuk Dr Alias Razak (Pas) dan Azaha Wahid (Pejuang).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!