Media sosial Pas sinonim dengan pengundi muda
MARANG – Pendekatan secara lebih santai melalui media sosial yang dibawakan Pas terhadap golongan muda membolehkan parti itu lebih popular dan sinonim dalam kalangan pengundi baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, peranan media sosial amat penting terutama melibatkan pendedahan terhadap aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan anak muda.
“Anak muda perlu dibahagikan sama ada dalam bandar, pinggir bandar dan luar bandar serta yang mempunyai pendidikan serta kurang pendidikan.
“Golongan-golongan ini perlu didekati secara berhemah menggunakan medium media sosial,” katanya pada sidang akhbar selepas proses penamaan calon, di sini, pada Sabtu.
Jelasnya, antara agenda besar yang dibawakan Pas kali ini ialah kefahaman terhadap perpaduan ummah.
“Perpaduan ummah adalah antara agenda utama yang dibawakan Pas di mana kita berusaha untuk menyatukan orang Islam, orang Melayu sama ada Perikatan Nasional (PN), BN, dan dalam masa yang sama penyertaan beberapa kaum lain yang tidak ekstrem.
“Kita juga akan sama-sama berkempen dan bertanding secara bersopan dan beradab sepanjang tempoh pilihan raya ini,” jelasnya.
Katanya, semua calon yang disenaraikan untuk bertanding termasuk 64 daripada Pas menyerahkan borang pencalonan di pusat penamaan calon seluruh negara.
Proses penamaan calon itu menyaksikan Abdul Hadi yang juga penyandang kerusi Parlimen Marang diiringi 1,000 penyokong tiba di pekarangan Pusat Penamaan Calon, kira-kira jam 8.48 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!