PRU15: Buat pilihan terbaik, bentuk kerajaan yang kukuh
SHAH ALAM - Masyarakat perlu melakukan perubahan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan membuat pilihan terbaik untuk mewujudkan kerajaan lebih kukuh bagi membolehkan negara menangani pelbagai krisis yang berlaku.
Pengerusi World Islamic Chamber of Commerce, Datuk Dr Mohd Ramalan Yunus berkata, selain kemungkinan kemelesetan ekonomi pada tahun depan, negara juga dilihat terdedah kepada pelbagai krisis lain seperti kesihatan, sosial dan politik.
Disebabkan itu, beliau berkata, kegagalan untuk mewujudkan kerajaan yang kuat untuk memenuhi segala cabaran dan tuntutan semasa hanya akan memburukkan lagi keadaan dihadapi rakyat Malaysia.
“Kalau kita tidak berubah, kita akan ketinggalan. Jadi tanya kepada diri kita, nak maju seperti negara lain atau kita mahu tertinggal. Sekarang ini dengan negara jiran seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina pun kita dah tertinggal.
“Jadi suka tidak suka, kita memang kena berubah kalau tidak dunia yang akan mengubah kita. Bukan mengubah kita menjadi lebih baik, tetap menjadi lebih buruk. Pasalnya kerana kita akan makin ketinggalan. Jadi pesan saya, buatlah perubahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU-15 bertajuk Mampukah PRU15 Ubah Malaysia? dan dihoskan Sam Ghani pada Ahad.
Menurut Mohd Ramalan, situasi ketidakstabilan yang berlarutan selepas PRU14 lalu tidak boleh berlanjutan kerana kerajaan yang kukuh sangat diperlukan untuk membawa negara menghadapi krisis yang sedang dihadapi.
Pada masa sama, beliau berkata, pelaksanaan PRU15 kini juga dilihat sebagai masa terbaik bagi membolehkan kerajaan baharu dibentuk dan seterusnya membolehkannya mempunyai perancangan lebih jelas untuk negara.
“Pada tahun hadapan, keadaan ekonomi dijangka bertambah parah, jadi kalau kita tidak ada satu kerajaan yang kuat hari ini, untuk membetulkan keadaan, macam mana rakyat nak berhadapan dengan krisis itu.
“Kalau kita lihat, inflasi sekarang ini pun sudah membebankan rakyat dengan kenaikan kos sara hidup. Jadi bayangkan kalau tidak buat hari ini, kita tunggu tahun depan dalam situasi ekonomi makin menjunam jatuh, apa yang akan jadi jadi dengan rakyat,” jelas beliau.
Katanya, rakyat Malaysia juga seharusnya tidak mengambil mudah terhadap kewajipan untuk mengundi kerana keputusan PRU15 bakal memberikan kesan yang sangat besar terhadap kehidupan mereka.
“Jadi memang setiap orang itu kalau dah cukup umur memang wajib mengundi. Dia wajib memilih parti mana yang perlu diletakkan untuk menerajui kepimpinan tertinggi negara.
“Ini kerana dasar yang diamalkan itu nanti akan mempengaruhi kehidupan mereka di masa akan datang sekurang-kurangnya untuk tempoh lima tahun lagi.
“Jadi penting untuk masyarakat menyampaikan hasrat, pandangan dan suara mereka berkenaan kerajaan apa yang dimahukan untuk kepentingan mereka,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!