Mas Ermieyati dakwa dihalang sertai program di surau
ALOR GAJAH - Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mendededahkan beliau dihalang menyertai program bersama kariah di sebuah surau.
Mas Ermieyati berkata, kehadirannya di surau itu bukan bersifat politik, namun untuk memeriahkan aktiviti gotong-royong tersebut.
"Ini bukan program saya pun, saya cuma nak bersama. Bila kata tak boleh, saya dah sampai jadi saya pandang dari jauh," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Ahad.
Mas Ermieyati berkata, biarpun berdepan cabaran itu namun ia tidak melemahkan semangatnya untuk terus bertemu pengundi tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.
Katanya, insiden itu disifatkan sebagai cabaran dalam politik terutama pada musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau yang juga Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Malaysia (Bersatu), sebelum itu mendedahkan kejadian itu menerusi sebuah hantaran di akaun Facebook rasminya.
"Saya dah sampai dah. Jadual sepatutnya saya bergotong royong dengan jemaah di sini pagi ni, telah dimaklumkan yang mereka tak dapat terima kehadiran saya atas sebab-sebab tertentu.
"Hmm... Tak apalah, saya faham. Saya hanya pandang dari jauh," tulisnya.
Tambah beliau, surau itu mengingatkannya ketika bersama-sama rakan-rakan Gerakan Belia 4B Kawasan Masjid Tanah membuat program di situ.
Malah ujar beliau, terdapat permintaan dari jemaah untuk menurap jalan menuju ke surau bagi kemudahan jemaah yang telah pun diluluskan pada waktu itu.
"Apapun saya doakan semoga urusan mereka semua dipermudahkan," tulisnya lagi.
PRU15 menyaksikan Mas Ermieyati berdepan saingan empat penjuru termasuk calon BN, Abdul Hakim Abdul Wahid, calon PH, Mutalib Uthman dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Handrawirawan Abu Bakar.
Mas Ermieyati yang juga penyandang Parlimen Masjid Tanah memenangi kerusi itu atas tiket BN pada PRU14 sebelum menyertai Bersatu pada 13 Disember 2018.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!