'Mengikat yang lama, memikat yang baharu'

Ahmad (kiri) beramah mesra bersama dengan peniaga di Pasar Binjai Kemaman pada Ahad. - Foto Bernama
Ahmad (kiri) beramah mesra bersama dengan peniaga di Pasar Binjai Kemaman pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

CHUKAI - BN Terengganu memperkenalkan ‘tagline’ atau slogan 'mengikat yang lama, memikat yang baharu' pada pentas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Said berkata ‘tagline’ itu adalah asas kepada misi pada PRU kali ini bagi memastikan pengundi-pengundi lama kekal menyokong UMNO dan BN selain menarik sokongan daripada golongan muda.

"Perkara ini perlu kerana kita tahu, kalau di Kemaman ini, hampir 30,000 pengundi yang pertama kali mengundi. Jadi kita harap mereka memahami perjuangan UMNO dan BN dalam membela rakyat selama ini.

"Apa yang kita perlukan hari ini adalah sebuah kerajaan yang stabil... kalau keadaan tidak stabil, pelabur tidak datang, tiada peluang pekerjaan. Ini beri kesan kepada golongan muda, jadi mereka perlu faham bahawa mereka perlu menyokong sebuah kerajaan yang stabil," kata Ahmad yang merupakan calon BN bagi kerusi Parlimen Kemaman.

Beliau berkata kepada Bernama selepas beramah mesra bersama warga penduduk setempat di Pasar Binjai dekat sini pada Ahad.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata, berdasarkan rekod, hanya BN sahaja yang mampu mentadbir negara sebaik mungkin.

"Sebab itu, kita tidak keluarkan janji-janji bombastik sebab kita berasas pada pengalaman, kewangan negara yang ada, dan kemampuan kita... sebab kita rancang (pembangunan) Malaysia lima tahun, lima tahun dan seterusnya," katanya.

Ketika ditanya mengenai tahap 'agresif' kempen BN pada PRU ini, Ahmad berkata, kempen akan dilaksanakan secara sederhana.

"Kita akan berjumpa masyarakat seperti program hari ini, malam kita buat ceramah dan sebagainya. Itu sahaja kerana UMNO dan BN dah memerintah lebih 60 tahun lebih, boleh lihat rekod prestasi kita. Cuma kita minta (pengundi) jangan terpengaruh (dengan muslihat dan manifesto politik)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 November ini sebagai tarikh mengundi dengan pengundian awal pada 15 November. - Bernama



Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!