[VIDEO] PN nilai semula pengeluaran KWSP bersasar
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan akan menilai semula pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu akan dinilai berdasarkan jumlah baki simpanan pencarum yang memohon untuk lakukan pengeluaran berkenaan.
"Baru-baru ini, saya ada mengeluarkan video menerusi TikTok dan antara perkara berbangkit minta saya benarkan sekali lagi pengeluaran KWSP.
"Insya-ALLAH, bila kita menang (PRU15) antara perkara akan lihat semula adalah (pengeluaran) KWSP bersasar.
"Kalau kita lihat sebelum ini dah benarkan beberapa kali pengeluaran (contohnya) i-Sinar dan i-Lestari yang pada mulanya agak sukar tapi selepas itu dipersetujui," katanya ketika Sesi Townhall PN selepas Majlis Pelancaran Tawaran PN (PN BEST) pada Ahad.
Beliau berkata, pengeluaran berkenaan tidak boleh dibuat jika sudah tiada simpanan dalam KWSP.
"Pertama, kita akan lihat berapa banyak simpanan yang masih ada dalam KWSP oleh pihak yang ingin memohon," katanya.
Muhyiddin menjelaskan, pihaknya akan memberi pertimbangan sebaik-baiknya mengenai perkara tersebut.
"Ini perkara yang penting. Insya-ALLAH bila mana kita menjadi sebuah kerajaan (jika memenangi PRU15," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!