Manifesto GPS menggariskan lima tonggak utama
KUCHING - Gabungan Parti Sarawak (GPS) berikrar akan menunaikan 25 perkara yang dijanjikan dalam manifestonya untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusinya Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata manifesto itu akan berdasarkan lima tonggak utama, termasuk 215 komitmen.
"Manifesto kami berdasarkan lima tonggak utama, 25 teras dan 215 komitmen bertemakan memastikan Sarawak yang stabil, maju, maju dan makmur menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Manifesto GPS PRU15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, sebentar tadi.
Premier Sarawak terbabit berkata, manifesto itu akan memastikan Sarawak mendapat semula haknya yang terhakis.
Ia termasuk hak-hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Persekutuan, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Perlembagaan Negeri Sarawak, katanya.
"GPS berazam untuk menunaikan janji kami melalui manifesto kami yang komprehensif dan inklusif yang memfokuskan kepada kepentingan rakyat dan masa depan negara kita.
"Manifesto ini akan memberi perhatian kepada golongan berpendapatan rendah termasuk B40 dan M40, pelajar sekolah, warga emas, kanak-kanak dan penjawat awam, mereka yang tinggal di bandar dan luar bandar.
Jelas Abang Johari, kekuatan GPS amat dipengaruhi oleh kestabilan politik, perpaduan kaum dan kemakmuran ekonomi.
“Hal ini menjadi mutiara berharga dan penentu kemajuan dan kemakmuran Sarawak," katanya.
Tambah beliau, dengan matlamat membawa Sarawak menjadi wilayah maju menjelang 2030, manifesto ini menawarkan lima tonggak utama.
“GPS menawarkan politik, sosial, ekonomi dan kewangan yang stabil dan mampan dengan mengambil perhatian berat terhadap keupayaan untuk memacu pembangunan Sarawak, selain kebajikan dan nasib generasi masa depan.
“Oleh itu, GPS menawarkan kerancakan pembangunan menyeluruh dari segi infrastruktur dan kemudahan untuk kawasan bandar dan luar bandar demi kesejahteraan hidup rakyat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!