KJ beri bayangan kepada pengundi Sungai Buloh
SUNGAI BULOH - Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menggariskan beberapa perkara yang mungkin akan dibawa dalam manifestonya bagi kawasan itu.
Dalam sesi ceramahnya, beberapa bayangan telah diberikan seperti pembangunan, merancakkan ekonomi setempat dan kebajikan rakyat.
“Saya belum umumkan malam ini. Saya akan umumkan manifesto saya minggu depan. Saya janji benda yang saya boleh buat sahaja, saya tidak akan berjanji perkara-perkara yang mengarut.
“Di sini, saya lihat banyak masalah-masalah yang berlarutan. Seperti masalah banjir dan sistem perparitan yang lemah,” katanya ketika sesi ceramah ‘Kata Janji KJ’ di Paras Jayas Dalam malam ini.
Menurut Khairy, Parlimen Sungai Buloh amat berpotensi untuk dibangunkan dalam pelbagai bidang seperti industri, pertanian dan teknologi maklumat.
“Saya akan jadikan Sungai Buloh sebagai Pusat Pemikiran Digital. Saya akan adakan kelas-kelas digital untuk anak-anak seperti kelas belajar ‘computer coding’,” katanya.
Selain itu, isu anak autisme juga dekat dihati Khairy kerana beliau turut memiliki anak istimewa seperti itu.
“Anak kedua saya autisme, jadi ia amat dekat di hati saya. Bagi saya, saya bertuah kerana mampu menghantar anak saya ke sekolah khas, tetapi ramai lagi di luar sana yang tidak mampu.
“Jadi saya akan cuba buka pusat pendidikan khas bagi autisme di Sungai Buloh. Tiada seorang pun yang kita tinggalkan, kami akan cuba yang terbaik,” katanya.
Sementara itu, Khairy juga berseloroh dengan mengatakan sekiranya setiap undi dikira melalui bilangan swafoto yang diambil, pasti BN sudah menang di Parlimen Sungai Buloh.
“Jadual saya dari semalam asyik lewat sahaja, sepatutnya di satu tempat diperuntukkan 30 minit, dia jadi 45 minit sebab ramai yang nak ajak ‘selfie’.
“Kalau saya kira bilangan orang ‘selfie’ dengan saya, BN boleh menang di Parlimen Sungai Buloh ini,” katanya.
Selain Khairy Jamaluddin, enam lagi calon yang bertanding merebut Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah Datuk R Ramanan (Pakatan Harapan), Mohd Ghazali Md Hamin (Perikatan Nasional), Mohd Akmal Mohd Yusof (Gerakan Tanah Air) dan Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia).
Dua lagi calon adalah Bebas iaitu Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff dan Nurhaslinda Basri.
Pada PRU14 lalu, kerusi Parlimen Sungai Buloh dimenangi oleh R Sivarasa daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 26,634.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!