TFC kejutkan KL City
TERENGGANU FC (TFC) mendapat tonik semangat menjelang perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia selepas menjinakkan juara bertahan Kuala Lumpur City FC (KL City), 1-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Ahad.
Penyerang TFC, Kpah Sherman terus menjadi duri dalam daging kepada pesaing kejuaraan berprestij bola tanah air apabila menghadiahkan defisit satu gol kepada anak buah Bojan Hodak menerusi jaringan pada minit ke-14, separuh masa pertama.
Pemain kebangsaan Liberia berusia 30 tahun yang tampil meledak lima gol ketika menyingkirkan Sri Pahang sebelum ini dijangka menghadirkan igauan ngeri kepada The City Boys menjelang perlawanan kedua hujung minggu ini.
Kemenangan pembakar semangat ke atas finalis Piala AFC 2022, ini juga memberi gambaran anak buah Nafuzi Zain berada di landasan terbaik untuk merangkul kejuaraan keramat bola sepak negara tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!