19 maut pesawat terhempas dalam tasik

Seramai 19 maut apabila sebuah pesawat terhempas ke dalam Tasik Victoria di Bukoba pada Ahad. - Foto AFP
Seramai 19 maut apabila sebuah pesawat terhempas ke dalam Tasik Victoria di Bukoba pada Ahad. - Foto AFP
A
A
A

BUKOBA - Angka kematian akibat nahas pesawat pada Ahad di Tanzania meningkat kepada 19 orang, kata Perdana Menteri Tanzania, Kassim Majaliwa.

Penerbangan syarikat Precision Air dengan berpuluh-puluh penumpang di dalamnya terjunam ke Tasik Victoria ketika menghampiri bandar Bukoba, barat laut negara itu.

"Semua warga Tanzania berkabung di atas kehilangan nyawa 19 orang dalam kemalangan ini," kata Majaliwa kepada orang ramai selepas tiba di lapangan terbang Bukoba yang mana penerbangan itu dijadualkan mendarat selepas berlepas dari Dar es Salaam.

Pihak berkuasa wilayah sebelum ini berkata, bahawa 26 mangsa daripada 43 orang dalam penerbangan PW 494 itu telah berjaya ditarik ke tempat selamat dan dibawa ke hospital.

Bagaimanapun, syarikat Precision Air yang merupakan syarikat penerbangan persendirian terbesar di Tanzania dalam satu kenyataan berkata, seramai 24 orang terselamat dalam kemalangan itu.

Seorang pegawai syarikat penerbangan memberitahu AFP bahawa dua lagi penumpang yang merupakan pesakit tidak berada di dalam pesawat itu.

“Terdapat dua orang yang cedera semasa usaha-usaha menyelamat namun mereka bukannya penumpang,” katanya yang enggan mendedahkan namanya.

Syarikat penerbangan itu berkata, mereka simpati dengan apa yang berlaku.

Pesawat yang terhempas itu adalah daripada model ATR 42-500 yang dikeluarkan oleh firma Perancis-Itali.

Rakaman video yang disiarkan di media tempatan menunjukkan bahawa pesawat itu sebahagian besarnya tenggelam ketika anggota-anggota penyelamat termasuk nelayan, mengharungi air untuk membawa orang ramai keluar dari pesawat tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pekerja-pekerja kecemasan cuba mengangkat pesawat tersebut keluar dari air dengan menggunakan tali dan dibantu oleh kren ketika penduduk turut berusaha membantu kerja-kerja tersebut. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!