10 kad merah warnai aksi Boca, Racing
SEBANYAK 10 kad merah dilayangkan pada perlawanan akhir Trofeo de Campeones de la Superliga, Boca Juniors menentang Racing Club di Stadium Parque La Pedrera.
Pengadil, Facundo Tello melayangkan kad merah selepas pemain tengah Racing Club, Carlos Alcaraz mencetuskan pergaduhan di hadapan penyokong Boca Juniors dengan sambutan gol kemenangannya.
Kedua-dua pasukan sebelum itu terikat 1-1 pada minit akhir masa tambahan, sebelum tandukan Alcaraz pada minit ke-118 menghadirkan kemenangan buat Racing Club.
Bagaimanapun, sambutan berpanjangan Alcaraz di hadapan para penyokong Xeneizes menimbulkan kemarahan dalam kalangan pemain Boca, dengan video menunjukkan pemain ke-12 tersebut memegang telinga Alcaraz dan membaling bola ke arahnya.
Tello, merupakan antara pegawai di Piala Dunia 2022 di Qatar November ini, kemudiannya melayangkan kad merah kepada Alcaraz pada minit ke-124' selain lima kad merah lain kepada pemain Boca - Luis Advíncula (125'), Carlos Zambrano (126'), Diego González (127') dan Frank Fabra (128') selepas insiden itu.
Skuad kendalian Hugo Ibarra juga kehilangan khidmat Darío Benedetto akibat layangan kad merah pada minit ke-130' juga terlepas aksi Alan Varela yang menerima kad kuning kedua, selain Sebastian Villa (95').
Racing Club kendalian Fernando Gago juga terpaksa akur tidak dapat menggunakan sepenuh kudrat Johan Carbonero (95') dan Jonathan Galván (126').
Secara keseluruhannya, tujuh kad merah dilayangkan kepada pemain Boca dan tiga daripada Racing sepanjang perlawanan berintensiti tinggi itu.
Pada perlawanan itu, Norberto Briasco meledak jaringan untuk Boca pada minit ke-18' sebelum tonggak Racing Club, Matias Rojas menyamakan kedudukan di minit ke-22.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!