Sekelip mata lima keluarga tinggal sehelai sepinggang

Keadaan lima rumah yang musnah dalam kejadian berkenaan. Gambar kecil: Nooriman
Keadaan lima rumah yang musnah dalam kejadian berkenaan. Gambar kecil: Nooriman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mangsa kebakaran di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru sedih dan terkilan selepas semua hasil titik peluh mereka bekerja di sebuah kedai makan tidak dapat diselamatkan.

Mangsa, Nooriman Surani@Salleh, 44, mengalami kerugian kira-kira RM15,000 apabila harta benda termasuk wang tunai miliknya hangus dalam kejadian itu.

Semua habis terbakar. Jam tangan, barang kemas, telefon bimbit, motosikal, duit gaji saya dua bulan ada hampir RM3,000 turut musnah.

"Semasa kejadian, saya ada di kedai tengah mengemas. Memang tak perasan rumah terbakar sampailah ada orang bagi tahu saya," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini pada Isnin.

Dia yang menetap di Kampung Baru memberitahu mula berniaga bersama tuan rumah berkenaan yang juga majikannya sejak berusia 14 tahun.

Katanya, kediaman terbabit didiami sekitar lima keluarga terdiri daripada 20 orang termasuk dirinya, rakan sekerja dan keluarga majikan restoran ikan bakar tempat mereka semua bekerja.

"Saya masih bujang tetapi yang tinggal di sini semuanya pasangan suami isteri dan anak-anak mereka.

"Kami semua bekerja di kedai sebuah restoran berhampiran. Restoran ini baru beroperasi sekitar setahun lebih tetapi sebelum ini saya memang dah lama berniaga bersama-sama majikan sekarang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai perancangan seterusnya, Nooriman berharap ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan kepada dirinya dan juga mangsa lain.

"Saya pun tak tahu lagi apa perancangan lepas ini. Tetapi saya berharap ada sesiapa yang sudi membantu kami mungkin dari segi pakaian atau wang tunai.

"Baju ini saya pakai sejak semalam semasa pergi kerja. Semua dah habis terbakar," ujarnya.

Ahad Sinar Harian pada Ahad melaporkan, lima rumah berhampiran pintu gerbang Kampung Baru di Jalan Raja Muda Musa di sini musnah dalam kebakaran malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi berkata, pihaknya masih menunggu laporan siasatan daripada pihak bomba bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!