'Pejuang perlu menang, bebas negara daripada rasuah'

Azaha Wahid
Azaha Wahid
A
A
A

KUALA NERUS - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) perlu menang untuk bebaskan negara daripada rasuah yang terus menjadi ‘kanser’ kepada negara sekaligus rakyat.

Calon Pejuang Parlimen Kuala Nerus, Azaha Wahid yang berasal dari Kampung Jeram, Manir, berkata, kemenangan perlu diberi kepada Pejuang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November nanti.

“Kalau nak membebaskan negara daripada rasuah, yang pertama kita kena ada kuasa dulu, nak kuasa, parti (Pejuang) kena menang. Setelah menang dan ada kuasa kita boleh mengambil langkah untuk mencegah rasuah ini.

“Saya akan pastikan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdiri di kalangan yang berintegriti dan telus. Mereka tidak tunduk kepada parti-parti politik untuk menjalankan siasatan terhadap mereka-mereka yang terlibat dengan rasuah,” katanya kepada Sinar Harian, pada Isnin.

Menurutnya, kebiasaannya rasuah ini berlaku di kalangan pemimpin apabila mereka mendapat tempat atau kedudukan di dalam parti seperti menjadi menteri, wakil rakyat, menteri besar dan sebagainya.

Golongan ini (calon bertanding) sepatutnya mengistiharkan harta mereka terlebih dahulu sebelum dan selepas menang.

“Dari situ kita boleh lihat bagaimana harta mereka-mereka yang bertanding ini. Kalau dilihat terjadinya kekayaan luar biasa setelah mendapat jawatan dalam kerajaan, mereka perlu disiasat,” katanya.

Azaha sendiri menyatakan kesediaan untuk mengistiharkan hartanya sebelum dan selepas menang dalam PRU15 termasuk dengan rela hati melakukan ujian psikometrik Rasuah Busters Tag.

Artikel Berkaitan:

Beliau berpendapat adalah penting setiap calon yang bertanding diperiksa rekod-rekod penglibatan rasuah.

“Sesetengah calon yang bertanding ada terlibat dengan rasuah tapi dibenarkan untuk bertanding pada PRU15 hanya kerana mereka belum ditentukan bersalah (hukuman).

“Bagi saya, mereka yang sudah dituduh walaupun belum didapati bersalah, pencalonan itu perlu ditolak. Penting untuk rakyat menyatakan hak mereka dan perlu pandai memilih calon sama ada yang terlibat dengan rasuah atau tidak,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!