PRU15: BN guna pendekatan kempen tidak buruk pemimpin, calon
BAGAN DATUK - Pendekatan berkempen BN sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah dengan tidak memburukkan atau mengaibkan mana-mana pemimpin atau calon.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, intipati setiap ceramah ialah menyebarkan kepada pengundi mengenai pelaksanaan pelbagai program untuk kesejahteraan rakyat, sekiranya BN dapat membentuk kerajaan selepas keputusan PRU15 diumumkan.
"Mengapa kita perlu mengkritik antara satu sama lain. Pendekatan mengutuk atau mengaibkan mana-mana calon lawan tidak harus dilakukan.
"Saya mengamalkan politik matang dengan tidak menyebut atau memburukkan mana-mana individu termasuk parti lawan, atau individu yang pernah menyebut perkara yang tidak baik atau menganiaya saya,” katanya dalam pertemuan bersama media di kediamannya di Kampung Sungai Nipah Darat di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk, akan mempertahankan kerusi berkenaan pada PRU15.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 November dan pengundian awal pada 15 November. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!