Kantoi menyamar nelayan tempatan

Rashidilhadi (kiri) menunjukkan sebahagian hasil tangkapan laut yang dirampas.
Rashidilhadi (kiri) menunjukkan sebahagian hasil tangkapan laut yang dirampas.
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Dua bot nelayan Vietnam yang menggunakan nombor pendaftaran tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) ketika menjalankan rondaan Ops Iman di perairan Terengganu, di sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, dua bot tersebut dikesan melakukan aktiviti menangkap ikan dan ditahan di dua lokasi berbeza pada jarak 54 dan 45 batu nautika dari muara Kuala Terengganu antara jam 5.45 hingga 6.40 petang.

"Dua tekong bersama 17 awak-awak berusia antara 19 hingga 39 tahun ditahan. Turut dirampas hasil tangkapan laut, minyak diesel, bot dan peralatan menangkap ikan yang bernilai RM3 juta," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Maritim, di sini hari ini.

Menurut Rashidilhadi, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana memalsukan dokumen bot dan juga melanggar syarat-syarat lesen serta di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

"Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran yang mana akan merugikan negara.

"Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari masa ke semasa untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang Maritim.

"Justeru itu, kerjasama daripada masyarakat terutama nelayan tempatan untuk melaporkan sebarang maklumat dan salah laku yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999 atau 09-6224357(Pusat Operasi) Maritim Terengganu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!