Ibu penyokong utama Nuraisah
DUNGUN - Sokongan dan dorongan dari keluarga menjadi pemangkin kepada calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Parlimen Dungun, Nuraisah Hasan meneruskan perjuangannya untuk mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ibunya, Musalmah Musa, 58, berkata, dia tidak terkejut dengan keputusan yang diambil oleh anaknya dan tetap menjadi penyokong utama.
"Walaupun dahulu saya parti lain tetapi sekarang kita akan bekerja keras membantunya.
"Saya tidak terkejut dengan tindakannya kerana sejak dari sekolah dia sukakan cabaran dan cuba perkara baharu," katanya.
Sementara itu Nuraisah berkata, beliau agak gentar apabila berdepan calon-calon parti lawan tetapi pada masa sama turut berasa bangga kerana dapat berada sebaris dengan mereka yang lebih berpengalaman.
"Memang berdebar berdepan calon-calon lain tetapi turut berasa bangga.
"Kita akan teruskan dan dari segi gerak kerja saya akan mendekati rakan-rakan yang sebelum ini memang selalu kita santuni.
"Selain itu kita akan menumpukan kawasan pasar kerana di situ juga tidak asing bagi saya," katanya.
Satu-satunya calon wanita dalam PRU15 di Terengganu itu berdepan saingan lima penjuru melibatkan calon dari parti BN, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan calon bebas.
Usahawan muda berusia 32 tahun itu mengambil tindakan berani untuk bertanding di Parlimen Dungun selepas sembilan hari mendaftar menyertai Pejuang.
Anak kelahiran Pulau Serai yang juga usahawan muda itu juga tiada pengalaman dalam dunia politik, bahkan tidak pernah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam PRU sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!