Umur 30 tahun, simpanan tunai lebih RM2 juta: Rafizi
PETALING JAYA - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendedahkan beliau mempunyai simpanan tunai melebihi RM2 juta menjelang umur 30 tahun yang digunakan untuk memulakan syarikat pemula hingga mengumpul harta RM18.9 juta seperti diisytiharkan baru-baru ini.
Ia sekali gus menafikan dakwaan beliau menggunakan dana awam untuk mengumpul kekayaan.
"Pada umur 26 tahun, gaji permulaan saya di Petronas adalah RM3,750. Setelah enam bulan, saya disahkan sebagai pengurus dan gaji naik kepada RM11,000 sebulan dan setahun kemudian, saya dinaikkan pangkat sebagai Ketua Bahagian Perancangan Petrokimia pada umur 27 tahun dan gaji RM25,000 sebulan.
"Ketika itu juga, Petronas memendekkan tempoh perkhidmatan dan umur persaraan daripada 60 tahun ke 55 tahun, jadi saya dibayar pampasan RM400,000 pada umur 29 tahun bagi tempoh lima tahun perkhidmatan yang dipendekkan.
"Saya juga berada dalam industri minyak dan gas ketika harga minyak naik mendadak dan bonus tahunan yang besar, yang mana sepanjang tujuh tahun saya di Petronas, bonus tahunan purata saya adalah antara 10 hingga 12 bulan setahun.
"Sebab itu saya mempunyai simpanan mencecah RM2 juta menjelang umur 30 tahun dan simpanan ini yang digunakan untuk memulakan syarikat pemula.
"Sebagai tokoh pembangkang yang lantang, jika ada penipuan atau penyelewengan, sudah tentu sudah lama saya disiasat dan didakwa di mahkamah oleh kerajaan BN dan Perikatan Nasional (PN), sepertimana Datuk Seri Najib Razak didakwa akibat kesalahan membabitkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)," katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan penyandang kerusi Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang mempersoal sama ada kekayaan Rafizi adalah menggunakan sumber dana awam yang dikumpul menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.
Hal itu kerana, ketika menubuhkan Invoke Solutions Sdn Bhd pada 2016, Rafizi menjalankan kempen mengumpul dana awam menggunakan syarikat itu, bagi kegunaan PKR dan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU14.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, semua dana awam berjumlah RM11 juta itu sudah habis digunakan untuk membiayai kempen PRU14 bagi calon PKR.
"Kesemua hasil Invoke sehingga 2018 telah dibelanjakan sepenuhnya untuk membiayai kempen PRU14 yang menyumbang kepada kemenangan PH dan memberi tempat kepada bekas-bekas wakil rakyat PKR yang melompat seperti Rashid Hasnon sendiri.
"Setelah PRU14 berakhir dan semua hasil dibelanjakan sepenuhnya, saya tidak ada pilihan lain kecuali menukar model Invoke menjadi komersial dan menerbitkan saham-saham baharu kepada pelabur untuk membolehkan kakitangan Invoke seramai 150 orang kekal dengan kemahiran mereka.
"Semua rekod ini, daripada gaji dan pendapatan saya, penyata kewangan dan percukaian Invoke ada dengan semua pihak berkuasa," katanya.
Dalam pada itu, Rafizi menjelaskan, Invoke tidak hanya mencatat keuntungan pada tahun pertama menjadi syarikat komersial iaitu 2019 tetapi telah mencatat keuntungan setiap tahun sejak 2020.
Katanya, propaganda BN dan PN kononnya Invoke mengalami kerugian hanyalah kerana mereka tidak faham membaca penyata kewangan yang penuh.
"Keuntungan Invoke mengikut tahun: tahun kewangan 2020 (RM507,000), tahun kewangan 2021 (RM653,000) dan jangkaan keuntungan tahun kewangan 2022 (RM1.5 juta).
"Di kalangan syarikat pemula dan syarikat teknologi di seluruh dunia, keupayaan menjana keuntungan dari mula adalah satu prestasi yang baik kerana lebih 90 peratus syarikat pemula tidak pun menjana keuntungan selepas lima tahun beroperasi.
"Terbitan saham terakhir Invoke dalam 2022 adalah pada nilaian RM75 juta. Nilaian ini sebenarnya lebih rendah dari nilaian rasmi yang dibuat oleh Craddle, sebuah agensi rasmi kerajaan yang meletakkan nilaian Invoke pada harga RM105 juta," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Presiden PKR itu berkata, semua dokumen pengisytiharan harta calon-calon PKR yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) boleh diakses selewat-lewatnya Rabu ini.
Rafizi berkata, pihaknya masih menunggu dua lagi dokumen pengisytiharan harta calon untuk dimuat naik secara berperingkat dalam tempoh dua hari.
"Setakat semalam (Ahad) hanya dua lagi (calon) belum hantar. Sementara yang lain kita sudah terima salinan.
"Kita akan muat naik di laman www.calonkeadilan.org dalam dua hari ini," katanya.
Beliau menegaskan, tindakan pengisytiharan harta adalah penting demi meyakinkan pengundi, namun perkara itu masih gagal dibuat oleh BN dan PN.
"BN dan PN tidak berani mengisytiharkan harta. Dalam keadaan rakyat menilai untuk memilih calon-calon yang bukan sahaja mengaku bersih tetapi dibuktikan bersih, kegagalan BN dan PN mengisytiharkan harta membezakan kredibiliti antirasuah PKR dan parti-parti BN dan PN.
"Mereka menyerang pengisytiharan harta saya dengan perkara remeh temeh untuk mengalihkan perhatian dari keengganan mereka mengisytiharkan harta," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!