Dipenjara lima tahun, enam sebatan liwat remaja
KEMAMAN - Bekas pekerja luar pesisir (offshore) dijatuhi hukuman lima tahun penjara dan enam sebatan setelah mengaku salah atas tuduhan meliwat seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, awal Januari lalu.
Tertuduh yang berusia 25 tahun itu membuat pengakuan di Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin selepas enam pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.
Mahkamah menjatuhkan hukuman lima tahun penjara dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan namun memerintahkannya berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 9 Januari lalu.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa meliwat remaja berkenaan di sebuah rumah di Chukai, di sini antara jam 1 pagi hingga 2 pagi, pada 2 hingga 4 Januari lalu.
Oleh itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan iaitu persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhanisah S H Sahul Hamid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!