Calon PH Parlimen Gopeng positif Covid-19
IPOH - Calon Pakatan Harapan (PH) untuk Parlimen Gopeng pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Tan Kar Hing disahkan positif Covid-19.
Kar Hing yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR Perak berkata, beliau melakukan ujian kendiri dua kali selepas mengalami tanda-tanda kurang sihat sekitar jam 12 tengah hari.
Kedua-dua keputusan kendiri menunjukkan saya dijangkiti Covid-19. Saya memohon maaf atas perkara ini.
"Kepada sesiapa yang pernah berjumpa dalam sehari dua ini, saya mohon anda menjalani ujian kendiri masing-masing," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Menurutnya, bagaimanapun segala program yang disusun oleh jentera dalam Parlimen Gopeng akan berjalan seperti biasa.
"Saya menjalani kuarantin kendiri di rumah sehingga Jumaat ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan.
"Segala program berbentuk jelajah, lawatan muhibah, jamuan teh, ceramah akan saya teruskan secara dalam talian sehingga tamat tempoh kuarantin," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!