Che Abdullah tidak lagi janggal berpakaian biru ketika kempen

Che Abdullah (tiga dari kanan) berswafoto ketika bertemu para penyokongnya di PDM Kampung Kubang Palas hari ini. - Foto Bernama
Che Abdullah (tiga dari kanan) berswafoto ketika bertemu para penyokongnya di PDM Kampung Kubang Palas hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

TUMPAT - Calon BN bagi Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi mengakui merasa janggal pada awalnya kerana memakai baju berwarna biru ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berbanding warna hijau ketika bersama Pas.

Penyandang kerusi Parlimen Tumpat itu bagaimanapun berkata, disebabkan amalan politik persaudaraan, perpaduan dan penyatuan yang dibawanya seawal menyertai politik, perkara itu tidak menimbulkan masalah.

"Seawal menyertai politik saya sentiasa berkawan baik dengan sesiapa pun sama ada mereka daripada Pas atau UMNO, tetapi sepanjang persahabatan itu saya rasakan kemesraan lebih ditunjukkan oleh orang-orang UMNO.

"Apabila diberikan peluang bertanding atas tiket BN, saya mendapati rupa-rupanya pemimpin BN ini adalah kawan-kawan saya yang amat karib selama ini cuma dahulunya kami hanya berbeza dari segi pandangan dan kerja berkaitan parti sahaja," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau juga tidak pernah mengkhianati kawan-kawan dan persahabatan, menyebabkan kesemua pemimpin dan ahli UMNO tidak mempunyai masalah dengannya, begitu juga dengan pemimpin Pas.

"Saya berharap mereka hormati keputusan saya yang sebenarnya amat berat saya ambil, namun saya telah memohon petunjuk daripada ALLAH," katanya.

Pada PRU14, Che Abdullah yang mewakili Pas memenangi kerusi Parlimen Tumpat dengan majoriti 17,500 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU15 manakala pengundian awal pada 15 November. - Bernama

Artikel Berkaitan:



Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!