Prabakaran ikrar hapuskan rasuah

Prabakaran
Prabakaran
A
A
A

KUALA LUMPUR – Calon Parlimen Batu dari Pakatan Harapan (PH), Prabakaran Parameswaran berikrar akan memastikan negara ini bebas dari gejala rasuah.

Katanya, sebagai anak muda, beliau melihat gejala rasuah akan merosakkan negara serta menambah kesengsaraan yang dihadapi rakyat.

Apabila kos sara hidup naik, rasuah pun akan naik, jadi perkara ini semuanya ada kaitan. Selaku anak muda dan anak jati Sentul, saya sarankan agar kita tolak rasuah habis-habisan.

“Kalau menang, saya akan cuba pastikan negara ini bebas gejala rasuah, saya boleh cuba,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sementara itu, ditanya mengenai manifesto beliau kepada penduduk di Parlimen Batu, Prabakaran menjelaskan ada beberapa perkara utama yang akan dibawa pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

“Manifesto pertama saya adalah memperjuangkan nasib pelbagai kaum. Saya akan fokuskan program-program yang meningkatkan perpaduan kaum.

“Kedua adalah isu pembangunan semula. Di Parlimen Batu terdapat banyak flat-flat kos rendah berusia lebih 40 tahun di mana saiznya adalah sekitar 500 kaki persegi.

“Pada hari ini kita sepatutnya sudah tiada lagi saiz rumah sekecil ini. Jika saya menang maka pembangunan semula lebih mudah dan saya mahu minimum 1,000 kaki persegi bagi setiap rumah dan mempunyai tiga bilik tidur serta dua tandas,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Manifesto ketiga yang akan dibawa oleh Prabakaran adalah isu pengangkutan.

Katanya, terdapat ramai golongan B40 tiada akses pengangkutan awam dan menyukarkan pergerakan golongan berkenaan.

“Pada tahun 2019, saya buat inisiatif polisi baru dalam Wilayah Persekutuan dengan bantuan kerajaan Pakatan Harapan (PH). Kita bagi bas percuma kepada kawasan yang ramai B40. Contohnya dari Jalan Ipoh ke Pusat Transformasi Bandar (UTC) ada bas percuma.

“Jika dipilih semula, saya akan laksanakan perkara sama di Jinjang dan Kepong,” tegasnya.

Manifesto keempat adalah mengenai isu tunggakan Program Perumahan Rakyat (PPR) yang dihadapi golongan miskin bandar.

Ujarnya, isu ini akan cuba diselesaikan dengan beberapa cara seperti diskaun untuk masa tertentu atau memansuhkan tunggakan tersebut.

“Jika mereka dihalau keluar, mana mereka nak pergi? Jadi ini masalah besar bagi golongan B40 di Wilayah Persekutuan,” tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!