Penduduk dakwa belum terima bantuan baiki rumah akibat banjir

Rara (tengah) bersama calon-calon DUN PH di bawah Parlimen Bentong iaitu Thomas Su di Ketari (dua dari kanan), Lee Chin Chen di Bilut (kanan),calon Sabai, D Kamache (dua dari kiri) dan Ahmed Wafiuddin Shamsuri (kiri) di Pelangai.
Rara (tengah) bersama calon-calon DUN PH di bawah Parlimen Bentong iaitu Thomas Su di Ketari (dua dari kanan), Lee Chin Chen di Bilut (kanan),calon Sabai, D Kamache (dua dari kiri) dan Ahmed Wafiuddin Shamsuri (kiri) di Pelangai.
A
A
A

BENTONG - Masih ada lagi mangsa banjir di daerah ini yang mendakwa rumah mereka belum menerima bantuan baik pulih rumah akibat banjir pada tahun lalu.

Calon Parlimen Bentong, Young Syefura Othman memberitahu, ia adalah antara aduan dan rintihan yang diterimanya sepanjang berkempen di kawasan Parlimen tersebut untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Biarpun bantuan ini telah dijanjikan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, ada penduduk yang telah menunggu lebih 10 bulan tanpa sebarang khabar berita mengenai perkembangan bantuan ini.

"Selain itu, ada juga yang menyampaikan kepada kami bahawa bantuan yang diberikan tidak mencukupi berbanding kerosakan telah mereka alami," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ujar beliau yang juga mesra dengan panggilan Rara memberitahu, berbeza dengan BN yang jelas memandang remeh keperitan penduduk, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengutamakan kesejahteraan rakyat dan akan menumpukan segala kudrat ke arah langkah pemulihan bencana, terutamanya bagi golongan terkesan.

"Dalam tawaran Harapan, kami bertekad untuk meningkatkan bayaran bantuan dengan mengikut nilai kerugian sehingga RM50,000 untuk setiap rumah yang terkesan akibat bencana bagi meringankan beban mereka.

"Kerajaan Harapan juga akan menambah baik kesiapsiagaan banjir dan bencana dengan memperkukuh operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan menyelaras tindak balas di setiap peringkat kerajaan bagi memperkemas usaha mencegah, menyelamat, menyalur bantuan dan mengurus pemulihan pasca bencana," ujar beliau lagi.

Tambah Rara, orang ramai boleh mendapatkan maklumat rancangan penuh Harapan bagi meningkatkan daya tahan bencana negara yang boleh didapati di https://kitaboleh.my/.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu, PRU15 ini bukan sahaja medan untuk memilih wakil rakyat yang berkhidmat dan berwibawa, tetapi juga peluang untuk memilih kerajaan yang berfungsi dan mengambil berat tentang nasib dan kebajikan rakyat.

"Oleh itu, kami menyeru agar pengundi beramai-ramai turun mengundi pada 19 November ini untuk memenangkan calon-calon Harapan di kerusi-kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) agar kita boleh sama-sama merealisasikan tawaran-tawaran yang telah kita umumkan dalam Tawaran Harapan demi membina Malaysia yang lebih sejahtera," tambah beliau.

Mengulas perkembangan calon-calon PH di Parlimen dan DUN Bilut, Ketari, Sabai dan Pelangai, Rara memberitahu, kesemua calon parti itu telah mengorak langkah menyantuni pengundi bagi mendalami isi hati mereka.

"Kami akan terus memanjangkan usaha ini, bergerak bersama-sama untuk memahami impian dan harapan mereka buat kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Pahang yang bakal dibentuk selepas PRU15," kata beliau.









Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!