PRU15: Mahu bawa suara petani ke Parlimen
RANAU - Biarpun berdepan dengan saingan lima penjuru di Parlimen Ranau, calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Azizul Julirin, 34, tetap mahu suaranya sebagai petani dibawa ke peringkat Parlimen menerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.
Azizul yang juga petani di tanah tinggi Kundasang menyatakan perasaan tidak berpuas hati apabila tiba di satu peringkat untuk membuat keputusan akhirnya gagal kerana dikuasai oleh ahli politik yang tidak mempunyai latar belakang mengenai perkara diperjuangkan.
"Ketika saya bergelumang dalam kegiatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis, kita tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk diatasi iaitu satu kuasa politik bagi mengubah polisi atau sebagainya.
"Ini kerana ia dipegang oleh mereka yang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang tersebut. Saya pula di tempat yang merasai denyutan, rintihan dan keperitan orang bawah jadi itu menjadi semangat motivasi untuk tampil ke hadapan (bertanding) dan seterusnya membawanya ke peringkat Parlimen," katanya ketika kepada Sinar Harian pada Isnin.
Ditanya pandangan beliau mengenai persaingan calon pada PRU kali ini yang datang dari pelbagai latar belakang termasuk golongan petani moden, Azizul berkata, ia adalah satu perubahan yang baik dari segi lanskap politik negara.
Jelasnya, masing-masing mempunyai kelebihan namun dia bertanding di tempat sendiri dan faham keperluan rakyat di Ranau.
"Untuk permulaan saya bermula di tempat di mana kita berjuang supaya orang boleh nampak bukti sebenarnya kita ini bertani dan apa bentuk kemodenan kita bawa untuk ditunjukkan kepada rakyat.
"Mungkin calon lain (Sharizal Denci) ada strateginya sendiri, beliau memilih platform yang berbeza.
"Kalau saya ditanya kenapa pilih Pejuang, kerana Pejuang beri saya ruang. Tidak perlu mengemis atau merayu mana-mana parti untuk menjadikan saya calon, saya diangkat. Jadi saya lebih selesa dengan platform ini," katanya.
Selain Azizul, Sharizal yang juga petani moden antara calon bertanding pada PRU15 namun memilih untuk berentap di Kota Marudu bagi menentang penyandangnya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.
Pada hari penamaan calon Sabtu lalu, Azizul berdepan penyandang Parlimen Ranau yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Taufik Dahlan (Pakatan Harapan), Markos Siton (Warisan) dan Ewon Ebin (Parti Bersatu Rakyat Sabah).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!