Kertas Putih Felda: Najib berpeluang bela diri
Usul itu dicadangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Di akhir perbahasan usul, sebanyak 86 ahli Dewan Rakyat bersetuju dengan usul berkenaan manakala 33 lagi tidak bersetuju.
“Dengan jawatankuasa ini, kita memberi peluang kepada Yang Berhormat Pekan untuk menjelaskan kedudukan yang sebenarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Langgar embargo: Kesalahan Najib serius, kata PM
“Jadi, dengan itu, saya memohon bahawa perkara ini disokong dengan penuh,” kata Vui Keong.
Semalam, semasa sesi penggulungan usul Kertas Putih itu, Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) menggunakan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat sambil mencadangkan tindakan ke atas Najib yang melanggar peraturan.
Laporan Kertas Putih Felda hanya dibentangkan di Dewan Rakyat semalam, dengan status embargo tidak boleh disiarkan sebelum jam 11.30 pagi hari sama iaitu pada 10 April.
Menurut Peraturan Mesyuarat 95A, mana-mana pihak yang mendedahkan keseluruhan atau sebahagian dokumen mesyuarat Dewan Rakyat berstatus embargo, adalah melakukan perbuatan menghina Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Vui Keong yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi mengakui pengurusan Dewan Rakyat meletakkan Kertas Putih Felda yang telah dicetak diletakkan di atas meja Ahli-ahli Parlimen pada jam 3 pagi, Selasa yakni sehari sebelum dibentangkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk dibaca namun, masih berstatus embargo.
“Sebenarnya pada jam 3 pagi, 9 April lalu, pegawai-pegawai Parlimen meletakkan dokumen Kertas Putih Felda itu di atas meja semua Ahli Parlimen untuk memberi peluang (Ahli Parlimen) melihat dan membaca apabila mereka tiba di Parlimen sebelum atau selepas 10 pagi hari sama,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming menafikan dakwaan bahawa Kertas Putih Felda berstatus embargo dimuat naik di laman sesawang rasmi Parlimen pada 9 April lalu.
Katanya,‘CMD 6/2019 - Kertas Putih Ke Arah Kelestarian Felda’ yang tertulis di laman sesawang Parlimen pada tarikh itu, hanyalah pemakluman mengenai agenda mesyuarat di Dewan Rakyat.
Katanya, tiada sebarang dokumen daripada kertas putih yang berstatus embargo sehingga 11.30 pagi semalam, dimuat naik bersama pemakluman berkenaan.
“Kerajaan mengesahkan dokumen embargo tidak dimuat naik ke laman rasmi Parlimen, ia hanya dibuat selepas Menteri Hal Ehwal Ekonomi membentangkannya tengah hari semalam.
“Dakwaan pembangkang bahawa kakitangan Parlimen memuat naik dokumen itu dan melanggar peraturan embargo adalah tidak benar sama sekali dan tak berasas.
“Agenda mesyuarat mesti dimaklumakan supaya Ahli Parlimen tahu apa yang akan berlaku pada sidang Dewan Rakyat berlangsung,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Parlimen akan mengambil tindakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang memuat naik kandungan Kertas Putih Felda berstatus ‘embargo’ di Facebook, petang kelmarin.
Menerusi Facebook jam 5.39 petang kelmarin, Najib memuat naik satu gambar menunjukkan sebahagian daripada kandungan Kertas Putih Felda yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 April.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!