JDT bawa masuk empat pemain baharu
JUARA sembilan kali Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) membuat persiapan awal bagi mengharungi saingan di peringkat antarabangsa dan domestik apabila mengumumkan perancangan untuk musim depan.
Pengarah Teknikalnya, Alistair Edwards memberitahu, bagi memantapkan lagi skuad Harimau Selatan akan membawa masuk tiga tenaga import baharu dan seorang pemain tempatan.
“Berhubung dengan pemain baharu, kelab telah mengenal pasti empat pemain baru — tiga pemain luar negara dan hanya seorang pemain tempatan,” katanya dalam catatan di Facebook Johor Southern Tigers pada Isnin.
Menurut Edwards, perkembangan terbaharu itu adalah selaras dengan titah pemilik kelab yang juga Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Beliau berkata, JDT juga akan mengekalkan kesemua pemain-pemain tempatan dan luar negara dalam skuad senior ketika ini.
“Tiga pemain dari JDT II juga akan dinaikkan pangkat ke pasukan senior,” katanya.
Beliau menambah, Tunku Ismail turut bertitah bahawa pembinaan fasa pertama Pusat Latihan JDT yang baharu di Iskandar Puteri akan tertunda ekoran kekangan kewangan yang disebabkan oleh keadaan ekonomi semasa di Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, JDT juga akan melantik seorang bekas anggota tentera sebagai Ketua Keselamatan Stadium.
“Peranan ketua itu ialah menyelia kesemua perkara berkaitan keselamatan, termasuk mengurus dan melatih para marshal.
“JDT akan memberikan maklumat-maklumat lanjut berkaitan kelab dalam masa yang terdekat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!